Siakap Keli

Tiada Laporan Rasmi Rakyat Malaysia Meninggal Dunia Di New York – Kementerian Luar Negeri

PUTRAJAYA, 28 Mei — Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di New York masih belum menerima sebarang laporan rasmi daripada mana-mana agensi kerajaan Amerika Syarikat (AS) berhubung rakyat Malaysia yang dijangkiti atau meninggal dunia akibat COVID-19 di negara itu, menurut Wisma Putra.

Kementerian Luar atau Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata ia mengambil maklum laporan agensi berita tempatan berbahasa Inggeris pada 28 Mei lepas, berhubung dakwaan kematian 10 orang rakyat Malaysia di New York kerana COVID-19 serta terdapat 30 rakyat Malaysia yang dijangkiti wabak itu.

Menurutnya, Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di New York sentiasa memantau perkembangan wabak tersebut terutama bagi kes yang melibatkan rakyat Malaysia, dan sering berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab dalam pengurusan COVID-19 bagi memastikan kesahihan dan ketepatan maklumat yang diterima.

“Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia di luar negara untuk berhubung dengan pejabat perwakilan Malaysia yang terdekat sekiranya terdapat apa-apa kesangsian mengenai maklumat berhubung situasi rakyat Malaysia di luar negara,” katanya.

— BERNAMA

Nur Farra