Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

(Video) Bayi Baru Lahir Dipercayai ‘Tertanam’ Hidup-Hidup Ditemui Selamat Di India

Seorang bayi yang baru lahir ditemui tertanam hidup-hidup di India oleh warga setempat yang ternampak kelibat kaki manusia terpacak keluar daripada tanah, lapor Daily Mail.

Menurut Daily Mail, warga setempat yang menyelamatkan bayi tersebut dikatakan mula terdengar tangisan bayi berkenaan semasa dia sedang membina rumah di kampung Sonoura, Uttar Pradesh di India.

Mereka kemudiannya terus bergegas ke arah tangisan tersebut dan telah menemui satu kelibat kaki yang dilitupi dengan debu terpacak keluar daripada tanah. Tanpa membuang masa, mereka telah menggali tanah tersebut untuk mengeluarkan bayi berkenaan.

Rakaman video yang memaparkan seorang warga setempat sedang berusaha keras menggali tanah untuk menyelamatkan bayi itu menjadi tular.

Selepas berjaya mengeluarkan bayi tersebut, salah seorang daripada penyelamat bayi itu telah memeriksa keadaan bayi berkenaan untuk melihat sama ada bayi terbabit masih bernyawa atau tidak.

Tidak lama kemudian, bayi tersebut secara ‘ajaibnya’ mula menggerakkan tangan serta kakinya.

Penduduk kampung kemudiannya telah bergegas membawa bayi tersebut ke hospital berdekatan.

Doktor yang memeriksa bayi berkenaan mendapati bahawa lumpur yang ditelan bayi tersebut telah membuatkan saluran pernafasannya tersekat.

Petugas kesihatan yang merawat bayi itu memaklumkan bahawa bayi tersebut berada dalam keadaan stabil, tetapi masih perlu ditahan di wad untuk dipantau.

Tidak dapat dipastikan mengapa bayi itu tertanam di kawasan tersebut atau berapa lama dia telah ditinggalkan di situ.

Selepas daripada itu, seorang wanita tempatan di kampung tersebut dilaporkan telah tampil untuk menjadikan bayi itu sebagai anak angkatnya.

Susulan daripada itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan untuk menyiasat berkenaan insiden tersebut.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa