Siakap Keli
george floyd whitehouse
Kredit: Google

(Video) Amerika Terpaksa “Lockdown” White House Selepas Perusuh Bela Kematian George Floyd Berhimpun Depan Pagar

Washington, 30 Mei – Protes atas kematian lelaki berkulit gelap, George Floyd kini merebak hingga ke ibu negara, memaksa White House dikenakan perintah berkurung untuk mengelakkan perkara yang tak diingini berlaku.

Berdasarkan gambar-gambar yang tular, kumpulan perusuh turut dilihat berhimpun di kawasan berdekatan pusat pentadbiran negara kuasa dunia itu.

Kredit: Google

Tunjuk perasaan bermula apabila orang ramai tidak berpuas hati terhadap layanan pihak polis ke atas golongan berkulit hitam di negara itu.

Protes yang bermula secara aman telah bertukar ganas apabila peserta menjadi marah dipercayai akibat provokasi yang berlaku ketika protes.

Dalam beberapa video tular di media sosial, para perusuh melaungkan kata terakhir Floyd, ‘I can’t breathe’.

Rusuhan bertukar ganas dan para perusuh dilihat mula merosakkan balai dan kenderaan polis.

‘I Can’t Breathe’

Pada 25 Mei lalu, George Floyd, 46 disahkan meninggal dunia setelah seorang anggota polis berkulit putih, Derek Chauvin menekan mangsa di leher menggunakan lututnya selama kira-kira lapan minit.

Biarpun lelaki tidak bersenjata itu merayu dan memberitahu dia tidak dapat bernafas, anggota polis berkenaan terus menindih lehernya. Malah, Derek terus berbuat demikian setelah mangsa tidak sedarkan diri dan hanya berhenti setelah paramedik tiba.

Susulan itu, Derek dan tiga rakan setugasnya yang terlibat dalam kejadian itu dibuang kerja. Tidak berpuas hati dengan hukuman, para perusuh menuntut kerajaan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap anggota terlibat.

Semalam (Jumaat), Presiden Trump dilaporkan memberitahu keluarga mangsa bahawa beliau memahami kesakitan mereka.

Beliau berkata demikian beberapa jam selepas kenyataannya mengenai rusuhan mencetuskan kemarahan orang ramai dan menerima label amaran dari Twitter.

“Samseng-samseng ini tidak menghormati memori George Floyd dan saya tak akan benarkan ia berlaku. Baru sahaja bercakap dengan Gabenor Tim Walz dan memberitahunya bahawa tentera sentiasa bersamanya. Sebarang kesulitan dan kami akan terus berkawal, tetapi bila serbuan bermula, tembakan bermula. Terima kasih,” tulisnya pada 1 pagi semalam waktu tempatan.

Kejadian yang serupa pernah berlaku sebelum ini di mana pihak berkuasa bertindak kasar dan ganas ke atas individu berkulit hitam yang tidak bersenjata. Hal ini membuatkan orang ramai percaya bahawa sebahagian pihak polis mengamalkan diskriminasi perkauman antara individu berkulit putih dan berkulit gelap di negara itu.

Sumber: USA Today

Amira

Love yourself.