Siakap Keli
rentas negeri kapasiti kenderaan
Kredit: Bernama

Rentas Negeri Masih Tak Dibenarkan Kecuali Atas 4 Faktor- Ismail Sabri

Putrajaya, 31 Mei – Kerajaan tidak membenarkan rentas negeri kecuali disebabkan empat perkara iaitu sakit teruk dalam kalangan keluarga, kematian, bertugas dan bagi pasangan yang terpisah dengan hubungan jarak jauh (PJJ). Pun begitu, kebenaran itu perlu memenuhi syarat dibenarkan pihak polis dari segi kapasiti kenderaan dan surat kebenaran merentas negeri.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, prosedur meminta kebenaran merentas negeri tertakluk kepada budi bicara pihak polis.

“Dari segi undang-undangnya, peraturannya, rentas negeri masih tak boleh dibenarkan kecuali sakit yang teruk di kalangan keluarga, ada kematian dan bekerja dan pasangan yang terpisah PJJ.

“Kita benarkan secara bersyarat. Bukan automatik,” katanya. Beliau menjelaskan, pihak polis berhak memutuskan untuk membenarkan satu surat untuk satu kenderaan atau satu surat untuk setiap penumpang.

Jelasnya, kapasiti penumpang dibenarkan adalah empat orang untuk sedan serta enam hingga tujuh orang untuk kenderaan pelbagai guna (MPV). Kesemua penumpang mestilah dari keluarga dan rumah yang sama, ujarnya.

“Kalau bukan dari rumah sama walaupun satu pejabat masih tidak termasuk dalam peraturan yang kita keluarkan. Sama ada mereka perlu minta satu persatu (kebenaran) untuk empat orang atau dalam satu surat empat nama, itu kita serahkan kepada pihak polis untuk menentukan.

“Kalau pihak polis kata okay sebab kalian satu pejabat, satu orang, dan tiga nama lain dalam satu surat, terserah pada pihak polis. Kalau polis kata setiap individu mesti ada satu surat, maka perlu patuh pada peraturan dan syarat dikeluarkan oleh polis,” katanya.

Ucapan mengenai prosedur rentas negeri bermula pada minit 28:50.

Sumber: RTM

Amira

Love yourself.