Siakap Keli

119 Kedai Tenaga TNB Sudah Mula Beroperasi Selepas Ditutup Sejak PKP Dilaksanakan

SHAH ALAM, 2 Jun — Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuka semula operasi 119 kedai tenaganya, yang ditutup sejak 18 Mac lepas, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata dengan pembukaan kedai tersebut, secara tidak langsung akan memberi peluang kepada orang ramai untuk menyemak pengiraan bil elektrik masing-masing.

“Sehingga kini sebanyak 119 kedai tenaga kembali beroperasi termasuk 27 kedai yang dibuka semalam di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Enam lagi baki kedai tenaga yang bertempat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh Semenanjung hanya akan dibuka semula pada 9 Jun nanti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kedai tenaga di bangunan TNB Seksyen 11 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Runcit TNB Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Mahdzir mengadakan lawatan ke kedai tersebut buat kali pertama selepas dilantik sebagai Pengerusi TNB pada 12 Mei lepas dan katanya, kedai tenaga adalah antara saluran kepada pengguna mendapatkan maklumat secara bersemuka mengenai pelarasan bil elektrik mereka.

“Ini berikutan ada sebahagian pengguna kediaman terkejut apabila menerima bil elektrik sebenar mereka yang lebih tinggi daripada kebiasaan, jadi mereka boleh datang ke sini dan membuat semakan bil masing-masing,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan rekod bil sepanjang tempoh PKP menunjukkan kadar penggunaan elektrik sektor kediaman meningkat antara 20 hingga 50 peratus dan ia antara faktor yang mendorong kepada peningkatan bil kerana rakyat berada di rumah bagi mematuhi perintah tersebut.

Jelasnya, pelarasan bil TNB menggunakan kaedah prorata juga bagi memastikan pengguna tidak terlebih caj selain kaedah itu sudah disemak dan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

“Terdapat pengguna yang menggunakan saluran media sosial bagi menyatakan kekeliruan mereka mengenai bil elektrik yang tinggi serta mempersoalkan kaedah pelarasan bil diguna pakai TNB.

“Bagi pengguna yang tidak berpuas hati dengan caj bil elektrik mereka selain datang ke kedai, mereka boleh berhubung terus dengan pegawai khidmat pelanggan TNB dengan menghubungi TNB CareLine 1-300-88-5454,” katanya.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata pengguna TNB bagi kategori rumah kediaman akan diberikan kemudahan membayar bil elektrik pada bulan Mac, April serta Mei ini, secara ansuran dan ia boleh dibuat sehingga Disember tahun ini, namun pengguna juga perlu menjelaskan bil bulanan semasa mereka.

“Kami beri kelonggaran pengguna membayar bil Mac sehingga Mei ini secara ansuran sehingga Disember 2020 mengikut kemampuan mereka, tetapi bil semasa (selepas bulan Jun) perlu dibayar mengikut jumlah yang ditetapkan.

“Untuk ansuran bil bulan Mac sehingga Mei juga tiada caj tambahan dikenakan kepada pengguna,” katanya.

Tambahnya, pelan ansuran itu ditawarkan secara automatik dan jumlah ansuran akan tertera pada kotak kuning yang terdapat dalam bil elektrik pengguna.

Jelasnya, bayaran ansuran itu ditawarkan hanya kepada pengguna kategori rumah kediaman bertujuan meringankan beban mereka yang terkesan akibat impak COVID-19.

Sumber: Bernama

Nor Azilah

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)