Siakap Keli
Gambar Via Google

Semut Masuk Dalam Balang Gula Atau Masakan, Ini Hukum Yang Wajib Tahu Jika Terus Makan

Pasti ramai di antara kita yang pernah mempunyai pengalaman balang gula di rumah dikerumuni dan dimasuki oleh semut.

Untuk mengeluarkan semut itu, pastinya leceh dan akan mengambil masa yang lama. Oleh sebab itu, ada yang mungkin menghiraukan serangga tersebut dan terus membancuh gula ke atas makanan atau minuman yang hendak disediakan.

Daripada sudut Islam, ramai yang tidak mengetahui tentang hukum berkenaan perkara tersebut. Pun begitu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada menerangkan tentang persoalan termakan semut yang masuk ke dalam balang gula kita. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti penerangannya seperti berikut:

Soalan:

Assalamualaikum al-fadhil ustaz,

Apakah hukum termakan semut yang masuk dalam balang gula?

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Hukum memakan semut ialah haram, kerana ia termasuk dalam jenis haiwan yang menjijikkan apabila dimakan, dan kerana terdapat hadis larangan membunuhnya.

Allah ﷻ berfirman:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan baginda (Rasulullah ﷺ) menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A`raf : 157)

Menurut Imam Fakhruddin al-Razi dalam Mafatih al-Ghayb (15/381), dalam ayat ini Allah ﷻ menyifatkan Nabi Muhammaf ﷺ dengan sembilan sifat, antaranya, menghalalkan bagi manusia akan benda-benda yang dihukum oleh Allah sebagai halal yakni dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang mengatakan ia haram. Begitu juga Rasulullah ﷺ mengharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, dan orang yang memakannya dianggap fasik.  Dalam kata lain, semua benda yang ditanggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Maka setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum berbeza.

Justeru berdasarkan ayat ini, semut adalah haram dimakan kerana sifatnya sebagai bangkai; matinya tidak disembelih, jijik pada jiwa dan dilarang oleh Rasulullah ﷺ daripada membunuhnya. Dalil larangan membunuhnya diriwayatkan dalam hadis daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِ أَرْبَعٍ مِنَ الدَّوَابِّ: النَّمْلَةِ، وَالنَّحْلَةِ، وَالْهُدْهُدِ، وَالصُّرَدِ

Maksudnya: “Rasulullah ﷺ melarang daripada membunuh empat binatang yang melata: semut, lebah, hud-hud dan al-surad (sejenis burung lang).”

Riwayat Ahmad (3066). Menurut Syeikh Syuaib al-Arnaut: hadis ini sahih.  

Berdasarkan dalil-dalil di atas, mazhab al-Syafie memperuntukkan bahawa setiap perkara yang dilarang membunuhnya adalah haram juga untuk dimakan. Fakta ini dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu`:“(Imam) al-Syafie dan para Ashab berpendapat bahawa apa yang dilarang untuk membunuhnya maka diharam juga untuk memakannya, kerana sesuatu yang halal dimakan tidak dilarang untuk membunuhnya, begitu juga tidak dilarang membunuh benda yang boleh dimakan. Contohnya ialah semut dan lemah, kedua-duanya adalah diharamkan (bunuh dan makan).”

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (9/22)

Kes Sukar Dikawal dan Tidak Menjijikkan

Namun begitu, terdapat pengecualian terhadap hukum umum larangan memakan semut di atas, iaitu apabila berlaku kesukaran untuk mengawalnya dan dimakan dalam keadaan yang tidak menjijikkan.

Rujuk Raudhah al-Tolibin (1/14)

Berkata Syeikh Jamal dalam Hasyiah Jamal pada meghuraikan ibarat kita Fath al-Wahhab oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari: “[Perkataan musonnif: dihalalkan mana-mana ulat yang berasal daripada makanan]…begitulah kes ulat yang lahir daripada makanan; memberikan faedah bahawa sesungguhnya haiwan yang tidak dilahirkan daripada sesuatu bahan adalah diharamkan (untuk memakannya). Contohnya, semut yang jatuh ke dalam madu. Berkata pengarah al-Ihya’: melainkan jika yang jatuh itu hanya seekor semut atau lalat kemudian pecah tubuhnya, maka diharuskan…

Sama juga hukumnya kepada lebah, kerana serupa tabiatnya, seperti tidak mempunyai darah yang mengalir dan dilarang untuk membunuhnya dengan dalil yang sama. Berkata Syeikh al-Jamal: “….melainkan jika hanya seekor lebah, yang melebur di dalam madu. Di dalam al-Ihya’ (oleh Imam al-Ghazali) dalam kitab halal dan haram menyebut: jika seekor lebah terjatuh, atau seekor lalat, ke dalam periuk yang sedang dimasak, kemudian berkecai tubuhnya, maka tidak diharamkan memakan masakan itu. Ini kerana pengharaman memakan lalat, dan seumpamanya, adalah semata-mata kerana kejijikan, justeru hal tersebut tidak dianggap jijik.”

Faktor pengecualian itu dikenalpasti ialah kemampuan mukallaf itu untuk mengawal makanannya daripada dimasuki perkara yang diharamkan dan tahap kejijikan makanan yang dicemari benda haram itu. Dalam situasi yang sukar dikawal dan berulang-ulang, serta hilang rasa kejijikan itu kerana sedikit bilangannya dan sudah istihlak (melebur), maka diutamakan hak mukallaf itu untuk makan apa yang dihalalkan Allah ke kepadanya. Sambung Syeikh al-Jamal: “Ibarat Al-Syaubari menyebut: “jika difahami secara qiyas dengan apa yang telah berlalu tentang isu haiwan yang tidak ada darah yang mengalir, apabila wujud dalam kuantiti yang banyak dan mengubah, maka ditegah daripada memakannya sekalipun jika dimakan dengan apa yang ada bersamanya, kerana (perubahan) itu sudah menajiskannya.”

Isu ini dijawab dengan mengatakan: “Pendapat ini terdapat keraguan; sedangkan isunya jelas datang dalam dua bab (yang berlainan). Dalam satu isu (perkara yang haram itu masih) boleh dikawal, adapun yang dibincangkan disini adalah perkara yang tidak boleh dikawal, maka pendapat yang tepat ialah selagi mana tidak menjijikkan maka diharuskan untuk memakannya bersamanya secara mutlak, jika jijik maka diharamkan.”

Rujuk Hasyiah al-Jamal (5/268)

Berkata Syeikh Abu Bakar al-Dimyati dalam I`anah al-Tolibin (9/458-459): “Begitu juga madu yang termasuk ke dalamnya semut apabila dimasak. Jika hanya seekor yang termasuk kemudian berkecai, maka tidak ditegah daripada memakannya.”

Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Jika terjatuh ke dalam madu seekor semut lalu dimasak maka harus hukum memakannya, berbeza dengan hukum daging (bila terdapat ulama maka hendaklah diasingkan) kerana tidak sukar untuk membersihkan daging itu daripada ulat. Jika termasuk seekor semut atau lalat ke dalam periuk yang sedang dimasak, kemudian berkecai tubuhnya dalam periuk, maka tidak diharamkan memakannya masakan itu, kerana ia tidak dianggap sebagai jijik. Begitu jugalah jika kuantiti lebih daripada satu, selagi mana zahirnya merujuk kepada bilangan yang sedikit.”

Rujuk Mughni al-Muhtaj (6/99)

Faktor Kesihatan

Sebahagian ulama membangkitkan faktor kesihatan. Ertinya, jika dengan memakan semut yang sedikit itu mestilah tidak mendatangkan kesakitan atau mudarat kepada tubuh badan. Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami: “Dan jika terjatuh semut ke dalam madu, dan dimasak, maka diharuskan memakannya. Tetapi jika berlaku pada daging, maka tidak diharuskan, dek kerana mudahnya untuk membersihkan daging daripada semut itu. Inilah yang dijazamkan oleh bukan seorang dalam kalangan ulama. Pendapat ini perlu diteliti pada zahirnya. Ini kerana illahnya, sekiranya kerana istihlak (peleburan), maka apa perbezaannya dengan apa yang difahami dalam kes lalat, atau selainnya. Justeru tujuan yang diambilkira ialah semut itu adalah bangkai haiwan yang tidak ada darah yang mengalir. Hukumnya tidak halal memakannya beserta bahan yang ia mati di dalamnya, sekalipun bangkai tadi tidak menajiskan. Benar, sebahagian mereka berfatwa bahawa keharusan berlaku jika seseorang itu lemah untuk memurnikan bahan makanan itu, dan yakin bahawa memakannya kedua-duanya tidak mendatangkan mudarat, dan tidak menajiskannya.

Rujuk Tuhfah al-Muhtaj (9/318)

Kemasukan semut tidak disengajakan

Dalam uruf masyarakat kita, semut tidak “dihidangkan” bersama air minuman, sebaliknya hanyalah termasuk secara tidak sengaja apabila kita memasukkan gula. Justeru, semut yang masuk secara tidak sengaja tidak menajiskan air minuman kerana sifatnya hanyalah sebagai pengikut dan bukannya tujuan. Berkata Syeikh Sulaiman al-Jamal lagi berkenaan fatwa Imam Ibn Hajar al-Haitami: “Jika seekor lalat terjatuh ke dalam suatu cairan, dan tidak mengubahnya, lalu cairan itu dituang ke atas cairan yang lain, maka hukumnya tidak memberi kesan (menajiskan) berdasarkan hukum zahir, kerana kesucian cairan pertama itu berpunca daripada kesukaran untuk mengawal. Aku (al-Jamal) berkata: Itulah yang zahir, sekalipun penuangan itu berlaku sebelum diangkat lalat itu daripada bekas yang dituang. Kes ini tidak jauh. Sekalipun jika kita berkata hukum memudaratkan sekiranya kita melontarkan lalat yang sudah mati, kerana perbuatan melontarkan itu (hanya) mengikut kepada pelontaran bahan cairan (yang pertama); bukan tujuan (yakni pelontaran lalat dalam cairan itu bukan perbuatan sengaja sebaliknya hanya mengikut).”

Rujuk Hasyiah al-Jamal (1/34); Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra (1/20); Hasyiah Ibn Qosim `Ala Tuhfah (1/71)

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa memakan semut dalam balang gula adalah diharamkan tertakluk kepada perkara-perkara berikut:

  • Semut merupakan bangkai yang diharamkan oleh Syarak, dan jijik untuk dimakan pada tabiat kebiasaan manusia.
  • Apabila semut masuk ke dalam gula, maka hendaklah sedaya upaya mengeluarkannya sama ada ia hidup atau mati.
  • Jika semut termasuk ke dalam minuman, hendaklah dikeluarkan sama ada hidup atau mati, tetapi air berkenaan masih lagi suci dan boleh diminum dan tidak bernajis, kerana masuknya semut secara tidak sengaja, dan bukan tujuan utama.
  • Jika semut termasuk ke dalam air minuman, atau dalam cairan yang dimakan seperti madu atau kordial minuman, adalah dimaafkan untuk diminum jika bilangannya sedikit pada uruf, tidak menjijikkan dan tidak menyebabkan masalah kesihatan.
  • Jika semut termasuk dalam masakan, kemudian lebur bersamanya, maka itu juga dimaafkan jika tidak menjijik, sedikit pada uruf, dan tidak berbahaya kepada kesihatan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa