Siakap Keli

Dari Mana Durian Musang King Dapat Nama & Cara Nak Kenal Buah Betul

Siapa ‘hantu’ durian di sini?

Jika anda seorang peminat tegar raja buah itu, anda tentu sangat meminati durian jenis yang paling tinggi tarafnya dalam keluarga buah durian, iaitu Musang King.

Rasa manisnya tiada tandingan, isinya yang banyak, warna kuning keemasan yang sangat menggoda serta baunya yang cukup ‘padu’, segalanya ada pada sebiji Musang King itu.

Penulis juga amat menggemari buah durian, semua jenis durian akan ‘disebat’ tanpa mengira jenis.

Tapi kalau dapat Musang King, cukuplah rasa enaknya boleh menepis segala kenikmatan durian-durian yang lain.

Namun, tahukah anda, di sebalik kemegahan namanya bertaraf ‘king’ itu serta harganya yang jauh lebih mahal, ada sejarah dahulu kala yang mungkin anda sendiri tidak pernah mengetahuinya.

Halaman Facebook Durian Monthong Tani pernah berkongsi tentang sejarah asal-usul kenapa ia dinamakan sebagai Musang King.

Mari baca perkongsian berikut.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Google)

Sejarah Durian D197 – Musang King

Durian Musang King atau nama asalnya Raja Kunyit berasal dari Kelantan, Malaysia.

Pohon induk asalnya tumbuh di Pulau Raya, sebuah pulau ditengah tengah Sungai Kelantan berdekatan dengan Pekan Tanah Merah.

Mengikut Chung Ting Bun dari Pulau Raya, pohon durian Raja Kunyit ditanam oleh moyangnya sekitar tahun 1800.

Moyang Chung Ting Bun ialah Chung Chun Seng yang berhijrah dari Selatan Cina ke Pulau Raya pada tahun 1790.

 

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Google)

Pohon induk Raja Kunyit hidup di Pulau Raya sehingga mati dipanah petir pada tahun 1974.

Sebelum mati dipanah petir seorang peladang, Wee Chong Beng, sempat mengambil dan membiak mata tunas Raja Kunyit.

Wee Chong Beng mula menanam Raja Kunyit seluas 2 hektar pada tahun 1970.

Pada mulanya, selepas mengeluarkan hasil, Raja Kunyit hanya di pasarkan oleh Wee Chong Beng disekitar Tanah Merah dan Kota Bharu, Kelantan.

Kebanyakan pembeli durian Raja Kunyit ialah kaum cina kerana rasanya yang begitu pahit.

Pada tahun 80an durian Raja Kunyit mula ditanam oleh pekebun durian di Pahang dan Gua Musang.

Sementara itu Wee Chong Beng telah berusaha untuk mendaftarkan Raja Kunyit dengan Jabatan Pertanian Malaysia.

Sumber: Google

Hanya selepas hampir 20 tahun, baru durian Raja Kunyit dapat didaftarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia sebagai D197 pada tahun 1993.

Setelah kebun di Pahang dan Gua Musang mengeluarkan hasil, durian Raja Kunyit mula dipasarkan di Kuala Lumpur dan bandar bandar utama Malaysia.

Pekebun pekebun dari Gua Musang telah menukar nama dan mempromosikan durian Raja Kunyit sebagai ” Musang King”.

Dengan nama baru ini dan dengan peningkatan hasil dan kualiti buah, akhirnya durian Musang King atau Raja Kunyit menjadi begitu popular di rantau ini termasuk Singapore, Hong Kong, Brunei, China dan Indonesia.

Difahamkan, antara kaedah nak kenal jenis Musang King adalah kewujudan ‘tapak Sulaiman’ di permukaan luar buah tersebut. Sumber: Google

Cara Nak Kenal Musang King

Memetik perkongsian di Mytaniaga, terdapat empat ciri-ciri asas yang boleh kita perhatikan dalam mengenal pasti apakah benar durian tersebut adalah daripada jenis Musang King, iaitu:

  1. Durinya yang berbentuk piramid yang bersegi
  2. Mempunyai batang induk (mahkota) yang tidak berduri dan agak botak serta berwarna coklat
  3. Kelihatan seakan tapak Sulaiman (lima ke enam bucu) di pangkal buah
  4. Bentuk buahnya bujur seakan bola ragbi dan ada juga yang berbentuk seakan buah pinggang

Sumber: Durian Monthong Tani, Mytaniaga

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.