Siakap Keli
Foto: Bernama

Mahkamah Melepas Dan Membebaskan Musa Aman, Pendakwaan Tarik Balik Semua Tuduhan Rasuah & Ubah Wang Haram

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid memberitahu mahkamah pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan dalam kedua-dua kes (rasuah dan pengubahan wang haram) yang dihadapi Musa.

Peguam Francis Ng Aik Guan, yang mewakili Musa berkata kes itu perlu ada pengakhiran dan oleh itu pihaknya memohon kepada mahkamah memberi keputusan yang wajar iaitu dengan melepaskan dan membebaskan anak guamnya kerana dibimbangi tertuduh akan didakwa semula.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudiannya melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada semua tuduhan itu.

Bagi  kes rasuah, Musa, 69, menghadapi 30 pertuduhan, sebagai ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, telah secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah US$50.1 juta.

Beliau juga menghadapi 16 pertuduhan iaitu secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram daripada beberapa individu.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang