Siakap Keli

Pesakit Terakhir Dah Sembuh, New Zealand Dilapor Berjaya ‘Singkirkan’ COVID-19, Turut Tarik Semula Sekatan

New Zealand pada Isnin mengisytiharkan negara tersebut kini bebas daripada COVID-19 selepas tiada jangkitan baru dicatatkan dan pesakit terakhir yang dirawat dihospital dilaporkan sembuh serta dibenarkan pulang.

Menurut laporan The Guardian, Perdana Menterinya, Jacinda Ardern berkata, negara itu turut akan menarik semula sekatan-sekatan yang dikenakan sebelum ini, kecuali pembukaan semula sempadan negara.

”Kami sudah bersedia. New Zealand bersatu dalam cara yang tidak pernah difikirkan untuk berdepan dengan virus ini”, kata beliau.

Jacinda sebelum ini menerima pujian antarabangsa dan juga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diatas tindakan cekapnya mengemudi negara kiwi itu dengan langkah-langkah berhati-hati tetapi tegas dan bersesuaian.

Beliau turut berkata, bermula tengah malam Isnin, warga New Zealand boleh kembali menjalani kehidupan yang normal.

Negara itu mencatatkan sebanyak 1,504 kes dan 22 kematian angkara COVID-19.

Sementara itu dalam perkembangan yang berbeza, Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Datuk Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hariannya sebentar tadi berkata, buat pertama kalinya tiada jangkitan baru COVID-19 melibatkan warga Malaysia di laporkan hari ini.

Bermula tengah malam ini, Malaysia memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menyaksikan beberapa kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan termasuklah kebenaran untuk merentas negeri.

Sumber: The Guardian

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.