Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Penyelidikan Membuahkan Hasil, USM Berjaya Uji Teknologi Tayar Sembuh Sendiri

Tayar Sembuh Sendiri
Kredit: USM Kampus Kejuruteraan

Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi penyelidikannya memperkenalkan tayar motosikal berteknologi sembuh sendiri, JVR Selfheal Tyre.

Menerusi satu kenyataan, USM memaklumkan tayar berkenaan menjalani ujian ekstrem selama dua jam tanpa henti di Horizon Beranang Circuit, Selangor bagi menilai prestasinya dalam keadaan pemanduan sebenar.

Penyelidikan yang diterajui Profesor Madya Dr. Raa Khimi Shuib dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral itu menggunakan teknologi getah sembuh sendiri (self-healing rubber) yang dibangunkan untuk aplikasi tayar motosikal.

USM Uji Teknologi Tayar Sembuh Sendiri

Dalam ujian berkenaan, tayar yang telah dipancitkan turut digunakan bagi menguji keupayaan teknologi tersebut.

Sesi ujian itu dikendalikan pasukan MotoWazi yang diketuai Dr. Wazi Abdul Hamid dengan melibatkan empat pelumba profesional negara, iaitu Md Zaqhwan Zaidi, Azroy Hakeem Anuar, Suhaidi Ali Rahma dan Md Afiq Md Hamdan.

Berdasarkan maklum balas pelumba yang terlibat, JVR Selfheal Tyre menunjukkan cengkaman dan kestabilan yang baik sepanjang ujian dijalankan.

Malah, prestasi tayar berteknologi sembuh sendiri itu turut disifatkan setanding dengan jenama tayar antarabangsa terkenal.

Ujian tersebut turut dihadiri wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Malaysian Rubber Council (MRC) serta rakan kolaborasi industri, Everthrough Rubber Product Sdn. Bhd.

Ujian berkenaan menjadi antara langkah menilai potensi teknologi getah sembuh sendiri dalam pembangunan tayar motosikal, selain membuka ruang kerjasama penyelidikan dan industri bagi mengembangkan inovasi berasaskan getah tempatan.

Intipati
  • USM memperkenalkan JVR Selfheal Tyre, tayar motosikal menggunakan teknologi getah sembuh sendiri.
  • Tayar itu diuji dua jam tanpa henti di Horizon Beranang Circuit, Selangor.
  • Maklum balas pelumba menyatakan tayar menunjukkan cengkaman dan kestabilan baik sepanjang ujian.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan