Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

USM Kini Ke-27 Universiti Terbaik Asia

USM
Kredit: Bernama

GEORGE TOWN, 4 Nov (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara institusi pengajian tinggi terbaik di Asia apabila berada di tangga ke-27 dalam QS Asia University Rankings 2027, sekali gus menempatkannya dalam kelompok dua peratus teratas daripada 1,725 universiti yang dinilai di seluruh rantau ini.

USM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pencapaian terkini itu mencerminkan kemajuan berterusan USM dalam aspek pengantarabangsaan, kecemerlangan akademik, jaringan penyelidikan serta pengalaman pembelajaran, selain mengukuhkan kedudukannya sebagai antara universiti terkemuka Malaysia di rantau ini.

“USM telah melonjak tujuh anak tangga dengan mencatatkan skor penuh dalam dua indikator utama iaitu Jaringan Penyelidikan Antarabangsa dan Nisbah Pelajar Antarabangsa, yang menyerlahkan kekuatan jaringan penyelidikan global serta keterangkuman antarabangsa universiti berkenaan.

“Ia turut mencatatkan prestasi cemerlang dalam Reputasi Akademik dengan skor 99.7 peratus dan Reputasi Majikan dengan skor 98.7 peratus yang mencerminkan pengiktirafan tinggi terhadap kecemerlangan akademik USM serta kualiti graduannya dalam kalangan komuniti akademik dan majikan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, USM menunjukkan peningkatan dalam tujuh daripada keseluruhan 11 indikator yang dinilai dalam QS Asia University Rankings 2027, memperlihatkan kemajuan menyeluruh dalam tiga lensa utama penarafan, iaitu Penglibatan Global, Pengalaman Pembelajaran, serta Penyelidikan dan Penemuan.

Menurut kenyataan itu, antara pencapaian ketara ialah peningkatan dalam indikator Jaringan Penyelidikan Antarabangsa apabila USM melonjak daripada kedudukan ke-15 pada 2023 kepada tangga kedua tahun ini, selain memperkukuh prestasi dalam aspek produktiviti dan impak penyelidikan.

Dalam indikator Pertukaran Pelajar Masuk pula, universiti APEX itu meningkat 76 anak tangga ke kedudukan ke-167 berbanding tangga ke-243 pada edisi 2026, manakala peningkatan lain turut direkodkan dalam aspek staf antarabangsa, nisbah staf-pelajar dan staf berkelayakan PhD.

-- BERNAMA

Intipati
  • USM menduduki tangga ke-27 QS Asia University Rankings 2027 selepas melonjak tujuh anak tangga.
  • Universiti itu berada dalam kelompok dua peratus teratas daripada 1,725 universiti yang dinilai.
  • USM mencatat skor penuh bagi Jaringan Penyelidikan Antarabangsa dan Nisbah Pelajar Antarabangsa.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan