Siakap Keli

PKPP: Polis Peronda Akan Ditempatkan Di Lebuh Raya, Jalan Utama Mulai Esok-KPN

Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) — Polis peronda akan ditempatkan di sepanjang lebuh raya dan jalan utama bagi memantau aliran trafik mulai esok, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata ia adalah selaras dengan penugasan baharu yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan perjalanan merentas negeri dibenarkan bermula esok.

“Objektif pemantauan itu adalah bagi mengesan kesesakan lalu lintas, pemandu mabuk, memandu melebihi had laju dan lain-lain kesalahan.

“Oleh yang demikian, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan mula berkuat kuasa pada esok dengan lebih banyak kelonggaran diberi, PDRM akan tetap memantau orang ramai bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Abdul Hamid berkata orang ramai yang dilihat tidak mematuhi SOP masih boleh dikenakan tindakan kompaun dalam tempoh pelaksanaan PKPP.

“Ya, kompaun dikenakan khususnya yang melanggar arahan penjarakan sosial,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata PDRM turut menarik kembali penugasan sekatan jalan raya di seluruh negara.

Abdul Hamid berkata terdapat beberapa sekatan jalan raya yang dikekalkan bagi melaksanakan Op Benteng COVID-19 bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin, selain pasukan pemantau pematuhan SOP kekal bertugas.

Beliau berkata bagi sekatan jalan raya untuk Op Benteng, PDRM bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata pihaknya akan terus memantau aliran trafik di lebuh raya dan sekatan jalan raya akan dilaksanakan mengikut kesesuaian dan keperluan.

Hari ini, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PDRM akan menarik balik sekatan jalan raya rentas sempadan negeri.

Berikutan itu, polis akan menumpukan kepada pematuhan SOP di premis-premis perniagaan dan kawasan awam, melalui pasukan petugas khas pemantauan pematuhan PKPP di daerah yang melibatkan agensi berkaitan iaitu ATM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sumber: BERNAMA

Dapatkan kelengkapan elakkan Covid 19 di SINI

Amira

Makin kita belajar, makin kita tahu sebenarnya banyak yang kita tak tahu.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.