Siakap Keli
Foto: Bernama

Remaja Maut, Rakan Cedera Parah Dalam Nahas Empat Kenderaan

NIBONG TEBAL, 8 Jun – Seorang remaja lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal ditunggangi mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Badak Mati, di sini hari ini.

Dalam kemalangan pukul 11.30 pagi itu, pembonceng motosikal, Tho Kah Seng, 17, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala rakannya, Poh Chi Xian, 17, yang menunggang kenderaan itu cedera parah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Lee Chong Chern berkata kemalangan itu melibatkan masing-masing dua kereta dan dua motosikal termasuk kenderaan ditunggangi dua remaja lelaki terbabit.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas motosikal ditunggangi dua lelaki itu melanggar bahagian sisi kanan sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang wanita yang memandu keluar dari simpang jalan sebelum sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan merempuh kenderaan tersebut (Perodua Axia).

“Kemalangan turut menyebabkan kereta Perodua Axia melanggar bahagian belakang kereta Toyota Vios yang berada di kawasan parkir sebuah kedai bunga sehingga menyebabkan berlaku kesesakan teruk di kawasan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Lee berkata perlanggaran itu menyebabkan dua rakan itu serta seorang lelaki yang menunggang sebuah lagi motosikal terpelanting sebelum terjatuh ke atas jalan, yang menyebabkan Tho mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, seorang lagi penunggang motosikal iaitu remaja lelaki berusia 16 tahun mengalami kecederaan ringan dan pemandu kereta Perodua Axia serta Toyota Vios tidak cedera.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk bedah siasat manakala rakannya serta seorang lagi penunggang motosikal dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata polis kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan untuk siasatan berhubung kemalangan itu dan mengesan saksi kemalangan untuk membantu siasatan lanjut kes tersebut.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang