Siakap Keli
sempadan covid-19
Kredit: Bernama

COVID-19 : Malaysia Sedia Longgarkan Sekatan Ke Atas Kawalan Sempadan Jika Kes Kekal Satu Angka

PUTRAJAYA, 9 Jun (Bernama) — Malaysia sedia melonggarkan sekatan ke atas kawalan sempadan sekiranya kes harian COVID-19 kekal satu angka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula esok sehingga 31 Ogos, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Jika kami boleh terus merekodkan kes satu angka, maka ia menunjukkan kami sedia untuk melonggarkan sekatan ke atas kawalan sempadan, “ katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata KKM sedang melihat ke atas kawalan sempadan kerana pada masa ini kerajaan masih mengukuhkan kawalan di sempadan negara.

Beliau berkata kadar jangkitan COVID-19 pada masa ini adalah kurang daripada 0.3 peratus dan kes harian di bawah unjuran KKM, yang menunjukkan orang awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Dr Noor Hisham berkata KKM sedang merancang strategi keluar dan ini merupakan pendaratan lunak bagi membolehkan lebih banyak sektor dibuka dan pada masa sama memastikan COVID-19 berada dalam kawalan.

Malah Dr Noor Hisham berkata jika virus COVID-19 berada di dalam masyarakat, rantaian jangkitan mampu diputuskan tanpa satu vaksin jika rakyat Malaysia mematuhui SOP, selain menjauhi 3C, (sesak, sempit , dekat) dan 3W (cuci, pakai, peringatan).

Beliau berkata Malaysia optimis selepas beberapa negara seperti New Zealand berjaya menghapuskan COVID-19 tanpa vaksin.

“Kami sorot kembali kes seperti SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) dan MERS(Sindrom Pernafasan Timur Tengah), dan bagaimana kami mampu membasmi dua virus itu tanpa vaksin . Jika itu boleh dilakukan , kami melihat ke hadapan tetapi ia bergantung kepada orang awam mematuhi SOP,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata menurunkan kes harian COVID-19 selain daripada mengekalkan ia dalam satu angka atau menyasarkan sifar kes adalah tidak mustahil jika setiap orang bekerja sebagai satu pasukan.

Sementara itu, beliau berkata kes positif hari ini melibatkan seorang pekerja asing dikesan apabila individu itu disaring untuk COVID-19 sebelum mula bekerja.

Beliau berkata majikan boleh menjadikan satu keperluan untuk membuat ujian dan saringan pekerja baharu sebagai sebahagian daripada usaha memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19 di dalam negara.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.