Siakap Keli

Pahang Benar Kedai Gunting Rambut, Salon, Pasar Malam Dan Hotel Beroperasi Semula

KUANTAN, 10 Jun  — Pahang membenarkan perkhidmatan kedai gunting rambut, salon kecantikan, pasar malam dan hotel beroperasi semula, tertakluk kepada pematuhan garis panduan oleh kerajaan negeri, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bagaimanapun operasi pub, kelab malam, pusat refleksologi, pusat karaoke dan taman tema masih tidak dibenarkan.

Begitu juga dengan penganjuran kenduri, rumah terbuka serta perarakan agama yang melibatkan kehadiran ramai sehingga menyukarkan amalan jarak sosial, katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Rosdy juga berkata perkhidmatan gunting rambut yang dibenarkan pula terhad kepada gunting rambut asas, sementara perkhidmatan mencuci dan rawatan rambut, mencukur  jambang dan misai, merias dan merawat kuku atau rawatan muka dan solekan masih tidak dibenarkan.

“Peralatan menggunting rambut perlu disanitasi setiap kali digunakan dengan pekerja harus memakai apron dan set sarung tangan baharu yang dibuka di depan pelanggan. Selain itu, berkongsi tuala adalah dilarang dan pelanggan digalakkan membawa tuala sendiri,” katanya.

Wan Rosdy berkata pelanggan kedai gunting rambut berusia 60 tahun ke atas harus membuat janji temu yang dikhaskan antara 9 hingga 11 pagi sahaja, manakala kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah wajib memakai pelitup separuh muka,  apron pakai buang serta ditemani ibu bapa.

Sementara itu, operasi pasar malam, pasar lambak, pasar karat dan jualan ‘car boot’ pula hanya dibenarkan selama enam jam bermula 3 petang dan tiada warga asing dibenarkan bekerja dengan peniaga atau menjadi pelanggan selain susun atur kanopi perlu mematuhi jarakan sosial.

Jika ada peniaga yang menggaji warga asing tanpa izin,  pihak berkuasa tempatan (PBT) berhak menutup premis perniagaan terbabit  atas faktor melanggar syarat lesen.

“PBT perlu memastikan lokasi pasar adalah sesuai bagi pematuhan jarak sosial dan perlu mempunyai kawalan pintu keluar masuk serta rekod daftar pelanggan dan saringan suhu diambil sebelum mereka dibenarkan masuk,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Rosdy berkata pembukaan pasar sedemikian di Temerloh, Jerantut dan Jengka di Maran ditangguhkan selama seminggu bagi membolehkan PBT di kawasan terbabit memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) perniagaan di kawasan berkenaan.

Selain itu, Pahang juga membenarkan hotel, resort, chalet dan inap desa membuka bilik seminar dan restoran atau kafe termasuk secara makan di dalam premis, bagaimanapun fasiliti karaoke, bar, gymnasium, spa, sauna dan kolam renang masih tidak dibenarkan beroperasi.

Bagi gerai buah-buahan bermusim, Wan Rosdy berkata hanya jualan secara bawa balik dibolehkan dan tiada perkhidmatan mencuba, merasa atau makan secara berkumpulan dibenarkan.

Untuk operasi rumah ibadat bukan Islam (RIBI) pula, pihak pengurusan perlu mendapatkan kebenaran Jawatankuasa RIBI di Setiausaha Kerajaan Negeri dengan tiada perhimpunan atau upacara sembahyang berskala besar diadakan.

“Pengunjung perlu terus beredar selepas selesai sembahyang dan pengurusan RIBI perlu melakukan proses nyah cemar dua minggu sekali atau sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan,” jelasnya.

Wan Rosdy turut memaklumkan bagi aktiviti sosial, sukan yang melibatkan sentuhan dan berpasukan masih tidak dibenarkan, manakala penggunaan peralatan sendiri seperti kasut dan bola boling adalah digalakkan dan peralatan yang digunakan secara bergilir perlu disanitasi dengan kerap.

Sumber: Bernama

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.