Siakap Keli

UM Berada pada Kedudukan Ke-59 Dalam Senarai Universiti Terbaik Dunia

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Universiti Malaya (UM) menduduki tempat ke-59 dalam Quacquarelli Symonds World University Rankings (QS-WUR) 2021, meningkat 11 tangga daripada kedudukan pada 2019.

Universiti ini memperoleh skor keseluruhan 70.1, peningkatan 4.5 peratus daripada tahun lepas.

UM terus menunjukkan peningkatan yang ketara dalam kedudukannya di peringkat global selama beberapa tahun, daripada tangga 167 pada tahun 2014 ke kedudukannya hari ini, menjadikannya antara 5 peratus teratas daripada 1,002 institusi yang dinilai QS-WUR.

Dalam satu kenyataan, Naib Canselor UM Datuk Dr Abdul Rahim Hashim berkata keputusan itu adalah pengiktirafan buat UM sebagai institusi penyelidikan dan pendidikan berkaliber tinggi.

“Matlamat UM adalah, dan selalu, untuk berusaha mencapai kecemerlangan dengan membuat penanda aras berbanding universiti terkemuka di seluruh dunia dengan tujuan untuk meningkatkan pendidikan tinggi Malaysia serta untuk meningkatkan reputasinya sebagai institusi pengajian tinggi global,” katanya hari ini.

QS-WUR menggunakan enam petunjuk untuk menyusun kedudukan yang mengukur reputasi akademik (40 peratus), reputasi majikan (10 peratus), pelajar fakulti (20 peratus), sitasi setiap fakulti (20 peratus), dan masing-masing lima peratus untuk nisbah fakulti antarabangsa dan nisbah pelajar antarabangsa.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang