Siakap Keli
tahfiz ittifaqiyah
Kredit: Bernama

Tertuduh Hisap Ganja, Main Snuker Sebelum Kebakaran Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah – Saksi

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) — Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar perbicaraan kes seorang remaja yang didakwa membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran tiga tahun lepas, bahawa dia bersama tertuduh dan beberapa rakan menghisap ganja sebelum kejadian itu.

Saksi pembelaan ketiga Imran Fazley Abu Bakar, 19, berkata enam rakan termasuk tertuduh datang ke rumahnya sebelum mereka bersama-sama menaiki motosikal ke sebuah pondok di Taman Balak, Datuk Keramat di sini, untuk menghisap ganja, antara pukul 1 hingga 2 pagi, 14 Sept 2017.

“Sebelum bergerak ke Taman Balak, saya menunggu abang saya pulang daripada berniaga di Pasar Malam, Sentul untuk bersama-sama pergi ke sana (Taman Balak) kerana ganja ada pada dia. Kami (lapan orang) kemudian sama-sama bergerak ke pondok itu menaiki motosikal.

“Kami tiba di pondok berkenaan bersama-sama, namun dua rakan saya iaitu Shahrul dan Haikal beredar ke tempat lain. Saya tidak tahu ke mana mereka pergi,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam Mohd Haijan Omar yang mewakili remaja itu pada perbicaraan kes bela diri remaja berkenaan hari ini.

Imran Fazley yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu berkata mereka berada di pondok berkenaan lebih kurang 20 minit sebelum melepak di sebuah warung di taman berkenaan.

Katanya, semasa berada di warung berkenaan, Shahrul dan Haikal kembali menyertai mereka dan selepas berbincang mereka semua ke pusat snuker kecuali Haikal.

Mohd Haijan: Lepas itu kamu pergi mana?

“Kami semua balik ke rumah saya dalam pukul 4 pagi. Saya, abang, tertuduh dan seorang lagi rakan kemudian pergi semula ke pondok itu untuk menghisap ganja pada pukul 4.28 pagi,” katanya yang membantu ibunya berniaga nasi ayam.

Pada 28 Jan lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan remaja terbabit membela diri atas pertuduhan tersebut, manakala rakannya yang berumur 19 tahun dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membeli diri atas pertuduhan sama.

Remaja berkenaan yang kini berumur 19 tahun telah memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi pada 2 dan 3 Mac lepas.

Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, di sini antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun, namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok untuk pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.