Siakap Keli
solat jemaah jumaat
Kredit: Bernama

Perak Benar Solat Jemaah, Solat Jumaat Ikut Kapasiti Keluasan Dewan Solat

IPOH, 16 Jun (Bernama) — Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan bilangan jemaah yang dibenarkan menghadiri solat fardu berjemaah dan solat Jumaat berasaskan kepada had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan menetapkan jarak satu meter sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari berkata baginda memberi perkenan itu selepas mendapatkan pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri setelah merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kebenaran melaksanakan solat Jumaat di masjid dan surau diri Jumaat serta mendirikan solat berjemaah pada setiap solat fardu di masjid, surau diri Jumaat dan surau mengikut had kapasiti keluasan itu akan mula dilaksanakan pada Jumaat ini (19 Jun).

“Kehadiran menunaikan solat fardu jemaah dan solat Jumaat pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara, selain identiti para jemaah hendaklah disemak dan direkod sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata cara masuk dan keluar para jemaah dari ruang utama dewan solat di masjid, surau diri Jumaat dan surau perlu diasingkan antara pintu masuk dan pintu keluar.

Solat jemaah hendaklah dilakukan dengan penjarakan sosial. (Kredit: Bernama)

Selain itu, Shahrul Azam berkata azan yang dilaungkan oleh bilal kembali kepada kaedah asal dan tidak perlu lagi melafazkan ayat “al-Salatu fi buyutikum” (tunaikanlah solat di rumah kamu).

“Ahli jawatankuasa (AJK) Kariah atau pegawai masjid memberi peringatan serta penerangan ringkas kepada jemaah untuk mematuhi garis panduan sebelum solat Jumaat dan solat berjemaah sebelum setiap solat fardu dimulakan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan garis panduan dan kaedah terkini penambahan bilangan jemaah untuk pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah kepada semua pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau di negeri ini dan selanjutnya menyelia dan memastikan garis panduan itu dipatuhi.

Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuatkuasa serta merta sehingga dikeluarkan apa-apa arahan baharu daripada MAIPk, katanya.

Pada 10 Jun lepas, Sultan Nazrin memberi perkenan untuk membenarkan solat fardu berjemaah bermula Jumaat lepas selain membenarkan bilangan jemaah menghadiri solat Jumaat di masjid dan surau diri Jumaat ditambah daripada 12 kepada 40 orang, tidak termasuk pegawai masjid dan AJK Kariah.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.