Siakap Keli

(Video) Rumah Di ‘Kampung Bebas Covid-19’ Di Itali Ini Dijual Hanya RM 5, Dikelilingi Gunung-Ganang Indah

Bila disebut sahaja Milan, Rome atau Venice di Itali, pasti ramai yang terbayangkan akan kemegahan kota bersejarah dan moden itu. Namun di sebaliknya, pernahkah anda mendengar mengenai sebuah bandar kecil Cinquefrondi yang terletak di hujung negara itu?

Harga sebuah rumah serendah RM4.82 sen

Terletak di wilayah selatan Calabria, Cinquefrondi kini menawarkan peluang kepada mereka yang mahu menjadi penduduk dan memiliki kediaman di situ dengan harga rumah serendah satu euro atau RM4.82 sen.

Malah, di saat hampir seluruh Itali lumpuh akibat wabak Covid-19, bandar yang indah ini tetap berdiri dengan megah dan dikenali dengan nama ‘kampung bebas Covid-19’ atau Covid free village berikutan tiada kes Covid-19 yang dilaporkan di bandar tersebut.

Persoalannya, mengapa harga rumah di bandar itu dijual dengan harga rendah dan seakan tidak masuk akal?

Menurut Datuk Bandar, Michele Conia, tawaran unik ini dibuat supaya orang ramai dapat ‘menghidupkan semula’ bandar yang kian sepi dan ditinggalkan itu berikutan ramai penduduk terutamanya anak muda yang telah berhijrah ke ibu kota.

Conia memberitahu bahawa tugas itu sangat berat sehingga dia memberikan nama khas iaitu ”Operasi Kecantikan” dalam misi menarik ramai pengunjung untuk dijadikan penduduk di bandar kecilnya.

”Mencari pemilik baru untuk banyak rumah terbengkalai yang kami miliki ini adalah bahagian penting dalam misi ”Operasi Kecantikan” yang saya lancarkan sebagai usaha memulihkan bahagian-bahagian bandar yang hilang.

”Kami mempunyai tarikan keindahan pemandangan, berada di antara bukit-bukit dan dua lautan, sungai yang mengalir bersih dan pantai hanya dengan jarak 15 minit perjalanan menaiki kereta.

”Tetapi seluruh daerah bandar saya terbengkalai, dengan rumah-rumah kosong dan ada di antaranya tidak stabil dan berisiko,” kata Conia.

Satu-satunya syarat ini perlu dipatuhi

Satu-satunya syarat yang perlu dipatuhi sekiranya anda membeli kediaman di bandar Cinquefrondi adalah pemilik rumah perlu membayar yuran polisi insuran tahunan sebanyak 250 euro (RM1,205.88) sehingga kerja dan pengubahsuaian rumah selesai.

Sekiranya rumah tidak dibaiki atau diubahsuai dalam tempoh tiga tahun, pemilik kediaman akan dikenakan denda sebanyak 20,000 euro (RM96,470.76).

Namun, rumah di Cinquefrondi berukuran lebih kecil iaitu bermula dari 323 kaki persegi hingga 430 kaki persegi, di mana hanya memerlukan sedikit kerja pembaikan dan pengubahsuaian rumah.

Pembeli yang berminat boleh menghantar e-mel kepada [email protected] untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kediaman tersebut.

Mungkin ada di antara rakyat Malaysia yang ingin berhirah ke Itali? Ini lah masanya!

Sumber: CNN, Insider

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.