Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pemergian Malim Ghozali, Hilangnya Permata Dalam Dunia Sastera

KUALA LUMPUR, 18 Jun — Dunia penulisan sastera Melayu kehilangan seorang lagi permata dengan pemergian Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid, 71, atau nama penanya Malim Ghozali PK, yang pulang ke rahmatullah hari ini.

Malim Ghozali PK menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang, pada 11.20 pagi dan jenazahnya disembahyangkan di Surau Ad Duha, Kota Damansara selepas asar, menurut hantaran Facebook anaknya yang dikenali sebagai Bee Ghozali.

Allahyarham adalah penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) pada tahun 2013 dan dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada tahun 2014.

“Hari ini keluarga Penyair (Persatuan Penyair Malaysia) sama-sama dipalit duka,” kata Setiausaha Agung Penyair Tuan Asri Husin yang juga terkenal dengan nama pena, Wacana Minda kepada Bernama.

Tuan Asri berkata Penyair tidak akan tumbuh tanpa akal fikir daripada tokoh sastera ulung negara itu yang bukan sahaja penasihat, tetapi juga pengasas persatuan tersebut.

“Pak Malim bukan orang lain bagi kami…  perjuangan arwah untuk menduniakan kepenyairan akan kami teruskan,” katanya.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran pula berkata negara kehilangan sasterawan dan juga pemikir yang sangat prolifik yang sumbangannya sangat besar dalam dunia penulisan khususnya sastera.

Beliau berkata Malim Ghozali PK bukan sahaja mendapat pengiktirafan di tanah air tetapi turut dikenali di peringkat antarabangsa termasuklah karyanya Tree of Sorrow tersenarai antara 160 novel terbaik dunia oleh International IMPAC Dublin Literary Awards.

“Banyak lagi pencapaiannya, antaranya Allahyarham juga memenangi Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) : Kumpulan Cerpen dan pernah mendeklamasikan puisi di Prague, Republik Czech, memberi syarahan di Hannibal, Amerika Syarikat dan Paris, Perancis.

“Di dalam negara, karya, novel dan juga cerpennya pernah memenangi banyak anugerah besar termasuklah beberapa kali Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan tiga kali untuk kategori utama dan pelbagai anugerah seni dari negeri Perak,” katanya sambil menambah sebanyak 22 buku Allahyarham juga diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Cina.

Abang Salehuddin berkata dengan DBP sendiri, Allahyarham telah menghasilkan lapan buku termasuklah lima novel, bermula dengan Redang pada 1988 dan karya terakhir adalah cerpen bertajuk Kumpulan Cerpen: Cerita Sarah Leong yang diterbitkan pada tahun lepas.

Malim Ghozali PK yang dilahirkan di Malim Nawar, Perak pada 4 Mac 1949 meninggalkan enam anak dan dua orang isteri.

— BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa