Siakap Keli

Selangor Benarkan Kembali Akad Nikah Seperti Biasa, Tetapi Patuh SOP & Tetamu Tak Lebih 15 Orang

Tiada lagi amalan ‘kahwin online’, majlis akad nikah kini boleh diiringi ahli pengiring, umum Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengarahnya berkata, JAIS memutuskan untuk membenarkan semula pelaksanaan majlis akad nikah dengan kehadiran fizikal seperti yang biasa dijalankan.

“Bagaimanapun, mengikut ketetapan ini, majlis akad nikah hanya boleh dilaksanakan di masjid-masjid yang ditentukan atau di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dalam kes-kes tertentu yang dibenarkan oleh Pendaftar Kanan.

“Kehadiran dalam majlis akad nikah adalah dihadkan tidak melebihi 15 orang, masing-masing tujuh (7) orang daripada pihak lelaki dan lapan (8) orang daripada pihak perempuan, selain dari pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali dan dua (2) saksi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, semua individu yang hadir dalam majlis akad nikah tersebut perlu mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan JAIS.

Selain itu, semua Penolong Pendaftar Perkahwinan (PPP) juga perlu melaksanakan tanggungjawab membantu dan memudahcara semua urusan anak kariah dalam perkara yang melibatkan permohonan kebenaran berkahwin lelaki dan perempuan.

Ia termasuklah urusan akad nikah seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 7 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 setelah kebenaran berkahwin di bawah Seksyen 17 di bawah enakmen yang sama.

“Sehubungan dengan itu, pelaksanaan akad nikah secara sidang video (video conferencing) adalah dihentikan.

“Ketetapan baru ini berkuatkuasa pada 22 Jun 2020,” tambah kenyataan itu lagi.

Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh berhubung terus dengan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Undang-Undang Keluarga di talian 03-5514 3479.

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.