Siakap Keli

(Video) Bank Berkeras Nak Bukti Fizikal, Warga Emas Terpaksa Tarik Ibu 100 Tahun Atas Katil Untuk Keluarkan Duit Pencen

Pandemik koronavirus telah memunculkan satu lagi gambaran yang menyedihkan kehidupan, kali ini di sebuah wilayah di India.

Seorang wanita tua menjadi tular selepas terpaksa mengheret katil ibunya yang berusia 100 tahun di bawah panas terik ke bank kerana mahu mengeluarkan duit pencen.

Kejadian menyayat hati itu dilaporkan berlaku di daerah Nuapada yang terletak kira-kira 433 kilometer dari Bhubaneswar di Odisha.

Menurut laporan, wanita terbabit terpaksa berbuat demikian selepas pihak bank berkeras mahu pengesahan fizikal penerima untuk pengeluaran duit pencen tersebut.

Gambar yang menjadi tular di media sosial itu turut menerima pelbagai reaksi dan kebanyakan pengguna media sosial meminta bantuan disalurkan kepada wanita tersebut.

Badan perundangan BJP Nuapada, Raju Dholakia mengatakan dia telah meminta Ketua Menteri Odisha, Naveen Patnaik untuk memeriksa perkara tersebut.

Namun tindakan beliau itu telah mencetuskan kritikan kerana didakwa tidak mencari jalan untuk membantu wanita terbabit.

Visual menyayat hati itu sekali lagi mendedahkan bagaimana penduduk miskin terpaksa bergelut untuk meneruskan hidup di tengah-tengah ancaman yang semakin meningkat di India yang turut menyaksikan ribuan individu kehilangan pekerjaan dan rumah.

Difahamkan, Odisha merekodkan kira-kira 3,909 kes jangkitan dan 11 kematian yang mana angka itu terus meningkat sejak Siklon Amphan membadai negeri itu hingga menyebabkan bantuan disalurkan kepada penduduk terpaksa dihentikan pada akhir bulan lalu.

Sumber: ndtv.com

Nor Azilah