Siakap Keli

Sindiket Palsukan Laporan Ujian Saringan COVID-19 Tumpas, Polis Tahan Lima Individu Termasuk Dalang

SHAH ALAM, 19 Jun  — Polis menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 dengan menahan lima individu termasuk dalangnya dalam tiga serbuan berasingan di Seksyen 25 di sini dan Klang, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata sindiket berkenaan dipercayai aktif melakukan kegiatan itu semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjualnya dengan harga RM120 kepada ‘pelanggan’ khususnya dalam kalangan warga asing kononnya akan memudahkan mereka mencari pekerjaan.

Beliau berkata serbuan pertama dilakukan pada kira-kira pukul 6.30 petang di sebuah rumah di Taman Sri Muda Seksyen 25 di sini hasil risikan, yang menyaksikan polis menahan seorang lelaki berumur 58 tahun selepas dia mengaku terlibat dalam kegiatan itu, malah memberitahu dia melakukannya bersama beberapa individu lain.

“Suspek yang bekerja sebagai pemandu teksi ini berperanan sebagai ejen dan ‘runner’ untuk mencari pelanggan dan menawarkan perkhidmatan (pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19) kepada warga asing atau majikan yang menggaji pekerja asing.

“Bertindak atas maklumat suspek pertama, selang dua jam selepas itu, polis menyerbu sebuah rumah di Klang dan menahan dua lelaki warga India serta dalang sindiket iaitu seorang lelaki bertaraf penduduk tetap. Mereka disyaki berperanan sebagai pengubah suai dan mencetak dokumen palsu berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Baharudin berkata siasatan lanjut ke atas keempat-empat suspek itu membawa kepada serbuan ketiga di sebuah premis perniagaan di Pandamaran, Klang, yang menyaksikan polis menahan seorang wanita warga India yang dipercayai diupah oleh dalang itu untuk menghasilkan dokumen palsu berkeputusan negatif ujian saringan COVID-19 daripada hospital swasta.

Katanya siasatan mendapati wanita itu bekerja di syarikat pembekalan pekerja milik dalang berkenaan dan semakan menunjukkan perniagaan itu berdaftar, namun ia menjalankan kegiatan ‘sampingan’ iaitu pemalsuan dokumen berkenaan.

“Polis masih menyiasat jumlah sebenar warga asing yang telah membeli dokumen palsu itu dan sedang menjejaki saki baki sindiket berkenaan. Semakan lanjut ke atas suspek mendapati, tiga warga India itu tidak mempunyai pasport manakala kedua-dua lelaki tempatan tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Baharudin berkata selain memalsukan dokumen keputusan ujian saringan sindiket itu didapati turut menjual pasport dan visa pelbagai negara yang dipercayai palsu dengan harga RM50 kepada pendatang asingdan juga majikan.

Beliau berkata semasa tangkapan dalang sindiket, polis merampas kira-kira 80 pasport India, Nepal, Filipina dan Indonesia disyaki palsu selain pelbagai barangan lain berkaitan antaranya salinan visa, kad-kad imigresen, kertas percetakan, komputer riba, komputer, pencetak, telefon bimbit, buku bank serta beberapa laporan keputusan ujian saringan COVID-19 palsu.

Sumber: Bernama

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.