Siakap Keli

Pernah Hilang Kerja, Bekas Wartawan Hidap Sakit Buah Pinggang Tahap 5 ‘Bangkit’ Untuk Hidup Dengan Berniaga

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Selepas diberhentikan kerja, kedua-dua buah pinggang pula rosak hingga tahap lima.

Itulah tekanan hidup yang pernah dialami seorang lelaki, Shazzuan Shah yang telah diberhentikan kerja pada 2018 lalu.

“Pada 2019 saya disahkan hidap sakit buah pinggang tahap lima ESRF waktu lepas hilang kerja.

“Hilang semangat jatuh terduduk, tetapi Alhamdulillah pengalaman dan semangat nak belajar memasak ada.

“Saya bangkit perlahan-lahan hingga hari ini,” katanya, memetik perkongsiannya di group Facebook Suami Masak Apa Hari Ini? (SMAHI), semalam.

Hilang punca rezeki, buah pinggang pula hampir rosak sepenuhnya

Sehubungan itu, beliau turut memberi semangat kepada individu-individu yang turut dibuang kerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas faktor kemelesetan ekonomi.

“Niat saya hanya nak kongsi pengalaman jatuh bangun, sebab mesti ada rakan-rakan dalam group SMAHI yang hilang kerja masa PKP.

“Saya taknak diorang hilang arah macam saya rasa; lepas ditamatkan kontrak, disahkan hidap sakit buah pinggang.

“Umur saya 33, buah pinggang dua-dua biji tinggal tiga peratus masa tu,” jelasnya ketika dihubungi Siakap Keli, hari ini.

Ekoran ujian hidup bertimpa-timpa ke atasnya satu demi satu, Shazzuan mengaku bahawa sampai satu ketika, beliau merasakan sudah mahu ‘mengalah’.

“Hidup normal, terus jatuh terduduk, keluar masuk hospital.

“Give up masa tu, sampai rasa kenapa Allah tak adil.

“Saya dulu kerja wartawan, dapat macam-macam pengiktirafan, kerja punya ikhlas tapi beberapa hari sebelum kontrak tamat baru diberitahu saya (dan rakan setugas lain) tidak diperlukan lagi. Mungkin dah bukan rezeki masa tu,” katanya.

Tidak cukup perit melihat anak kecil yang baru berusia tiga tahun ketika itu, beliau juga turut mendakwa bahawa tiada sebarang pampasan diberikan sejak ditamatkan kerja.

Untuk rekod, Shazzuan pernah merangkul Anugerah Khas Ketua Menteri dalam satu anugerah media pada 2017 dahulu.

Shazzuan pada hari ini berbeza dengan yang ‘dahulu’. Ini ketika beliau menghantar pesanan makanan. Gambar: Facebook

Bangkit dari kegagalan

Masa berganti masa, parut yang terhasil dari luka yang pernah mewarnai kisah silamnya itu dijadikan ‘lencana’ sebagai obor penguat semangat untuk kembali bangkit.

“Pandang muka anak, isteri dan mak, paksa diri untuk bangun semula.

“Lupakan yang jadi, belajar bersyukur, mula dari bawah sampai sekarang,” tambahnya lagi.

Atas usaha kerasnya yang minat berniaga dan mempunyai kemahiran memasak, Shazzuan mula berniaga nasi beraneka jenis secara kecil-kecilan sehingga hari ini.

Dengan memiliki sebuah gerai bernama Nasi Ayam Abang Wan yang beroperasi di Melaka, beliau menjual pelbagai jenis nasi seperti nasi ayam, nasi ayam geprek dan nasi ayam goreng yang dimasak dengan air tangannya sendiri.

Menu nasi ayam geprek yang dimasaknya sendiri. Gambar: Facebook
Menu nasi ayam goreng yang dimasaknya sendiri. Gambar: Facebook
Menu nasi ayam yang dimasaknya sendiri. Gambar: Facebook

Sambil berniaga, sambil buat dialisis

Kesusahan yang pernah dirasai pada masa lalu menjadikannya seorang yang kuat pada masa sekarang.

Biarpun gigih memasak, berniaga dan menghantar pesanan makanan, beliau juga sempat berkejar ke hospital untuk rawatan dialisis.

“Kalau saya dialisis pun sebelum ke hospital, saya akan siapkan dahulu (makanan) di gerai saya, lepas tu baru pergi.

“Balik dialisis saya akan terus berniaga semula.

“Terima kasih semua..mana yang tanya gerai saya di mana, saya mohon untuk Google je nama Nasi Ayam Abang Wan.

“Insya-Allah akan keluar tempat waktu semua. Kalau boleh datang beritahu saya. Insya-Allah saya kira harga kawan-kawan,” katanya lagi dalam perkongsian terbaharunya di SMAHI.

Sumber: Shazzuan Shah via Suami Masak Apa Hari Ini?

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'