Siakap Keli
Kredit: Google

COVID-19: 16 Kes Baru, 10 Pulih Dan Tiada Kematian Dicatatkan Hari Ini -KKM

Putrajaya, 21 Jun – Sebanyak 16 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan kes keseluruhan COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,572 kes.

Dalam kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sebanyak 295 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dicatatkan setakat hari ini.

“Ingin dimaklumkan daripada 16 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

“Daripada 13 kes penularan di dalam negara, sembilan kes adalah bukan warganegara manakala hanya empat kes adalah di kalangan warganegara Malaysia,” tulisnya.

Tambahnya, sembilan kes bukan warga negara itu melibatkan Kluster Syarikat Pembersihan di Selangor (2), Kluster Pedas (6) dan Pusat Tahanan Sementara Tawau (1).

Sementara itu, empat kes penularan warganegara Malaysia pula melibatkan Kluster Kidurong di Sarawak (2), Kluster Orang kena Tuduh (OKT) yang baru dimasukkan ke lokap dan satu kes saringan pra pembedahan di hospital di Johor.

“Sehingga kini, sebanyak tiga kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan,” tulisnya.

Sebanyak 10 kes pulih dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya sebanyak 95.1 peratus dari keseluruhan kes.

Tiada kematian dicatatkan hari ini.

Sumber: Ketua Pengarah Kesihatan

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.