Kerajaan bersetuju memberikan kebenaran dan penganjuran majlis sosial, bermula 1 Julai ini, umum Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Majlis sosial yang dibenarkan merangkumi kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis-majlis berkaitan agama seperti tahlil, aqiqah dan doa selamat.
“Selain itu, ia termasuk juga majlis-majlis sambutan sosial seperti ulang tahun perkahwinan, hari jadi, re-union dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.
Bagaimanapun, penganjuran tersebut tetap tertakluk di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, antaranya tempoh masa yang dibenarkan hanyalah selama tiga hingga lima jam.
Kapasiti kehadiran tetamu pula tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa, tertakluk kepada saiz ruang majlis bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.
Selain itu, penyajian makanan secara buffet adalah tidak dibenarkan.
“Bagaimanapun, kita boleh melonggarkan iaitu walaupun ada buffet, tetapi ia diuruskan oleh peramu saji.
“Pengunjung (juga) tidak boleh mengambil sendiri makanan di situ, dan yang terbaik adalah secara hidangan,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, antara SOP yang ditetapkan adalah kaunter saringan kesihatan di pintu masuk.
“Itu perlu ada, itu memang syarat asas dan suhu badan setiap tetamu perlu diperiksa.
“Kita tidak benarkan mereka yang bergejala dibenarkan hadir,” jelasnya.
Menurut Ismail lagi, penganjur juga mestilah mendaftarkan tetamu menggunakan aplikasi MySejahtera atau direkod secara manual.
Tidak kurang juga, arah masuk dan arah keluar tetamu pula turut perlu diasingkan agar tidak berlaku kesesakan.
Bagaimanapun, sekiranya berlaku masalah dan penganjur berasa sukar untuk mengawal keadaan (seperti penjarakan sosial), mereka dinasihatkan dan digalakkan untuk tidak meneruskan majlis tersebut.
Ia berikutan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih lagi memantau pematuhan SOP sepanjang PKPP dijalankan.
Kenyataan tersebut boleh dirujuk pada durasi 13:10.
Sumber: RTM