Siakap Keli

Ubah Rumah Tengah Bandar Jadi Reban, DBKL Gempur Premis Haram Bela Ayam Di Cheras

Sebuah rumah kediaman yang ‘diubah’ menjadi premis memproses ayam di Cheras digempur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam.

Operasi oleh Unit Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL serta Jabatan Penguatkuasaan DBKL itu mendapati premis berkenaan menyalah guna pakai rumah kediaman sebagai tempat menyimpan dan memproses ayam segar.

“Hasil siasatan mencatatkan, premis tersebut menggunakan khidmat dua (2) pekerja warga asing Indonesia dan beroperasi tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) pusat penyembelihan ayam oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Didapati anggaran belaan ayam berjumlah lebih kurang 60 ekor,” kata kenyataan tersebut, semalam.

Difahamkan, premis tersebut beroperasi tanpa lesen perniagaan sah dari DBKL.

Dalam pada itu, premis tersebut turut mengalirkan darah atau sisa efluen terus ke longkang awam, selain lokasinya yang tidak sesuai kerana berada di zon kediaman.

“Sehubungan itu, notis tutup premis di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 101 (1)(v) berkuatkuasa 24 Jun telah dikeluarkan,” tambah kenyataan itu.

Orang awam boleh membuat aduan berhubung isu kebersihan menerusi Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1-800-88–3255 atau terus ke Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL.

Gambar: DBKL
Gambar: DBKL
Gambar: DBKL
Gambar: DBKL

 

Gambar: DBKL
Gambar: DBKL

Sumber: DBKL

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.