Siakap Keli

Penantian Penuh Luka, Dari Tragedi ‘Gerrard Slip’ Kini Liverpool Jadi Juara Eropah Dan Bumi England

Penantian tiga dekad Kelab Bolasepak Liverpool untuk ditabal menjadi Juara Liga Perdana Inggeris akhirnya terlerai selepas perlawanan Manchester City menentang Chelsea yang berkesudahan Chelsea membenam pencabar terdekat Liverpool itu dengan keputusan 2-1.

30 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat, perjalanan berliku kelab Merseyside  ini berkesudahan dengan penuh kecemerlangan. Pengurus bersilih ganti, pemain-pemain masuk dan keluar, sehinggalah bertemu dengan seorang Pengurus dari bumi Jerman bernama Jurgen Norbert Klopp

Jurgen Klopp hadir ke Liverpool selepas menyelesaikan tugasnya di Borussia Dortmund dan dapat membawa kelab dari Jerman itu menjuarai Bundesliga.

Sebelum era Klopp, Liverpool pernah hampir menjadi juara Liga Perdana Inggeris ketika di bawah pengurusan Brendan Rodgers. Pasti semua peminat bolasepak bumi ingat akan kejadian ‘Gerrard Slip’ yang memusnahkan impian Liverpool menjulang gelaran liga ketika itu.

Namun, selepas kehadiran Klopp, perubahan demi perubahan yang dibawa dan ramai pemain-pemain berminat untuk bermain di bawah bimbingan beliau. Sepanjang tempoh perkhidmatan Klopp di Liverpool beliau berjaya membawa masuk 23 pemain baharu dan pasti semua setuju apabila kemasukkan Van Dijk, Mo Salah, Sadio Mane, Andy Robertson dan Fabinho antara pemain yang sehingga kini menjadi tunjang kekuatan Liverpool.

Klopp bukan sahaja berjaya membawa Liverpool menjadi juara liga domestik tetapi musim lepas, Klopp juga berjaya menamatkan penantian hampir 15 tahun apabila ditabalkan sebagai Juara Eropah dengan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah. Liverpool menewaskan Tottenham Hotspurs di Madrid, Sepanyol dengan keputusan 2-0.

Bukan itu sahaja, selepas berjaya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah, Liverpool layak untuk mewakili benua Eropah untuk Kejohanan Piala Dunia Kelab yang berlangsung di Qatar. Liverpool berjaya menjuarai kejohanan itu dengan menewaskan CR Flamengo dari Brazil berakhir dengan keputusan tipis 1-0.

Dengan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah juga, Liverpool layak untuk beraksi dalam perlawanan UEFA Super Cup menentang Chelsea selaku juara Liga Europa pada musim yang sama. Liverpool sekali lagi diangkat sebagai juara selepas aksi penentuan sepakan penalti jadi penentu juara malam itu.

Kejayaan bertali arus untuk dua musim ini memang sangat dinanti oleh seluruh penyokong Liverpool di dunia. Jurgen Klopp dan barisan pemain ini berjaya membuktikan Liverpool kini seharusnya sebuah pasukan yang digeruni di Eropah malah di dunia. Klopp berjaya membentuk pasukan ini selama 4 tahun dengan cukup baik.

Sumber: FIFA

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)