Siakap Keli

“Kawal Perasaan Gementar,” 5 Tips Berjaya Dalam ‘Job Interview’ Buat Golongan ‘Pemalu’

Introvert secara umumnya ialah seseorang yang memiliki sifat pemalu dan lebih pendiam, sekiranya dibandingkan dengan mereka yang berkeperibadian extrovert. Orang-orang yang memiliki sifat introvert ini lebih cenderung menjadi pendiam dan tenang. Namun, perlu diingatkan keperibadian orang introvert ini tidak sama dengan seseorang yang pemalu. Kerana itu, mereka yang memiliki sifat introvert ini sukar untuk mendapatkan kerja.

Apa itu introvert?

Sebelum pergi lebih lanjut mengenai tip yang diperkatakan, apa kata kita selami lebih dalam mengenai apa itu introvert terlebih dahulu?

Introvert adalah salah satu dari trait personaliti manusia. Individu yang berperwatakan seperti ini selalunya dikaitkan dengan sifat pendiam dan pemalu. Mereka kebiasaannya tidak mahu dan akan mengelak sebarang perhatian serta perbualan yang melibatkan ramai pihak, kerana ia akan membuat mereka berasa sangat penat dan tidak selesa.

Ia berbeza sekali dengan perwatakan ekstrovert. Individu yang berperwatakan ekstrovert selalunya lebih riang dan berani. Disebabkan itu, mereka sangat gemar berinteraksi dan berbual dengan orang ramai. Berada dekat dengan mereka sahaja sudah pasti membuat orang lain turut berasa gembira ekoran mulutnya yang tidak henti-henti berbicara.

Apa perbezaannya dengan ekstrovert?

Menurut Carl Jung, ahli psikologi yang pertama mendeskripsikan mengenai 2 trait personaliti ini, kedua-dua perwatakan ini adalah sangat jauh berbeza antara satu sama lain. Beliau turut menyatakan bahawa faktor yang memisahkan kedua-dua trait personaliti ini adalah tenaga.

Individu introvert lebih gemar persekitaran yang tenang kerana mereka perlu masa bersendirian untuk ‘mengecas’ kembali tenaga mereka yang cepat habis ketika bersosial. Manakala, individu ekstrovert memerlukan persekitaran yang meriah dan penuh dengan aktiviti bersosial untuk memastikan tenaga mereka yang banyak itu digunakan sebaiknya.

Ambivert, di tengah-tengah keduanya

Selain 2 trait personaliti yang utama ini, ada satu lagi perwatakan manusia yang berada di tengah-tengah. Bak kata penyanyi dangdut dari Indonesia, Iwan, ‘yang sedang-sedang sahaja’.

Tidak seperti introvert atau ekstrovert, individu ini tidak terlalu pendiam atau peramah. Mereka mempunyai fleksibiliti untuk masuk ke mana-mana kelompok, bergantung kepada situasi.

Jadi, anda yang mana satu?

Ciri-ciri individu introvert

Anda rasa diri introvert? Berikut merupakan beberapa ciri-ciri individu dengan perwatakan ini:

  • Gemar bersendiri
  • Berasa penat setiap kali melakukan interaksi sosial
  • Bersikap ingin tahu
  • Suka bekerja secara individu
  • Sering lari dari situasi yang menyerabutkan fikiran
  • Lebih memilih untuk menulis berbanding bercakap
  • Lebih beremosi

Nampaknya, individu dengan trait personaliti ini memang tidak gemar berinteraksi dan lebih memilih untuk bersendiri. Jadi, bagaimana agaknya mereka hendak berjaya dalam apa-apa temuduga pekerjaan ya?

Tip berjaya dalam temuduga pekerjaan untuk introvert

Khas untuk anda yang sedang membaca, ini kami kongsikan beberapa tip yang anda boleh gunakan semasa job interview:

#1. Sertai rangkaian dalam talian

Bagi individu dengan trait personaliti introvert, komunikasi mungkin adalah satu beban yang menyiksakan. Namun, ia adalah sesuatu yang sangat penting dalam dunia pekerjaan. Tanpanya, anda sudah tentu tidak akan mampu untuk meluaskan lagi ‘connection’ anda.

Anda bernasib baik kerana kita kini hidup pada era digital yang segalanya boleh dicapai menggunakan hujung jari sahaja. Anda mungkin tidak perlu bertegur sapa dengan individu lain untuk meluaskan rangkaian pekerjaan anda. LindkedIn adalah penyelesaiannya.

Namun, hubungan di alam maya dengan realiti sudah tentu jauh sekali bezanya, bukan? Jadi, mahu atau tidak, cuba untuk banyakkan bercakap dan bertanya dengan individu dari pelbagai latar belakang pekerjaan untuk meluaskan rangkaian pekerjaan anda.

Ini sangat penting untuk langkah pertama anda dalam menuju alam pekerjaan. Dengan rangkaian yang luas, lebih ramai bakal majikan atau rakan sekerja yang anda akan kenali. Ini sekali gus akan meningkatkan peluang anda untuk dipanggil bagi job interview.

#2. Sentiasa bersedia

Setelah mendapat panggilan untuk temuduga sesuatu pekerjaan, jangan terus rasa gemuruh. Ketahuilah bahawa ia adalah peluang keemasan untuk anda menjawat kekosongan jawatan dalam sesuatu organisasi atau syarikat yang anda impikan.

Jadi, anda perlu sentiasa bersedia. Ya, ia memang kedengaran klise. Namun, ia adalah sesuatu yang perlu anda lakukan. Sebelum pergi ke tempat temuduga, sila belajar serba sedikit mengenai latar belakang bakal tempat kerja anda untuk anda mendapatkan idea.

Bukan itu sahaja, cuba untuk kenali setiap individu yang bekerja di situ, terutamanya yang berpangkat tinggi seperti lembaga pengarah. Ketahui juga bagaimana mereka beroperasi dan mendapatkan keuntungan. Bagi individu yang bukan introvert sekalipun, ini adalah perkara yang sangat penting.

Untuk lebih bersedia, cuba berlatih di hadapan cermin. Dari situ, anda mungkin boleh mengetahui mana kesilapan dan kelebihan anda semasa memperkenalkan diri kepada bakal majikan anda!

#3. Berpenampilan menarik

Bak kata pepatah Melayu, dari mata turun ke hati. Jadi, kenakan pakaian yang sesuai dan cantik semasa pergi temuduga kerja. Selain itu, sisir rambut, potong kuku dan kemaskan diri anda untuk anda tampil kemas, bersih dan menarik di hadapan bakal majikan.

Umum mengetahui individu introvert memang kurang gemar berinteraksi. Namun, jangan jadikan ini sebagai alasan untuk anda tidak berjaya. Cuba untuk menjawab setiap soalan yang diajukan dengan yakin dan tenang. Pastikan muka anda juga tidak kelihatan terlalu panik ya?

#4. Kawal perasaan gementar

Sesi temuduga bukan bersifat satu hala sahaja. Kedua-dua calon dan majikan perlu berinteraksi. Namun, semasa bakal majikan anda itu sedang sibuk berbicara, jangan pula anda yang introvert ini berdiam diri seumpama patung cendana pula ekoran terlalu nervous.

Cuba lakukan eye contact sebanyak mungkin dan kurangkan pergerakan yang memperlihatkan anda sebenarnya sedang gementar. Paling penting, sentiasa senyum. Mana tahu dengan senyuman indah anda itu, bakal majikan anda terpikat untuk mengambil anda bekerja?

#5. Follow up!

Usai sahaja sesi temuduga, jangan terus berdiam dan berdoa sahaja. Anda perlu sentiasa follow up untuk mengetahui perkembangan sesi pemilihan tersebut. Caranya, mudah sahaja. Cuba tinggalkan kad perniagaan dan minta mereka hubungi setelah mendapat keputusan.

Selain itu, lakukan juga follow up melalui e-mel. Hantarkan satu pesanan yang menyatakan penghargaan anda kerana menjemput anda menghadiri sesi tersebut. Selepas itu, sentiasa berhubung dengan pihak bakal majikan untuk mengetahui progres anda.

Ini adalah sesuatu yang mudah dilakukan meskipun anda seorang introvert, bukan?

Konklusi

Kesimpulannya, tiada alasan untuk seorang individu dengan trait personaliti introvert tidak boleh berjaya dalam job interview. Anda mungkin tidak sehandal orang ekstrovert dalam berbicara, namun setiap individu punya kelebihan dan keupayaan masing-masing, bukan?

Jadi, setiap individu dengan perwatakan introvert di luar sana, jangan memperkecilkan diri anda sendiri. Ketahuilah bahawa anda juga mempunyai potensi yang sama seperti orang lain di luar sana!

Sumber: Hellodoktor

Nurul Najiha

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa