Siakap Keli
Gambar: Bernama

Lanjutan Moratorium Bersasar Terpulang Kepada Bank – Tengku Zafrul

Lanjutan moratorium bersasar adalah terpulang kepada bank, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa bank perlu mengkaji bantuan yang disasarkan tetapi menekankan bank tidak boleh dipaksa untuk berbuat demikian berikutan ia dalam bidang kuasa mereka.

“Terdapat banyak permintaan daripada mereka yang memerlukan lebih banyak masa untuk moratorium. Oleh itu, ini sebenarnya terpulang kepada bank sama ada mereka boleh atau tidak tetapi pada pandangan peribadi saya, kita perlu menolong orang yang perlu ditolong,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di ibu pejabat Prasarana hari ini.

Tengku Zafrul berkata lanjutan moratorium bersasar akan diteliti oleh bank berdasarkan kes demi kes.

Beliau berkata di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), BNM mencadangkan moratorium automatik kepada semua pembayaran balik pinjaman oleh individu serta perusahaan kecil dan sederhana selama enam bulan bermula 1 April hingga 30 Sept, 2020 yang memberi manfaat kepada semua orang.

“Pada masa akan datang, saya fikir yang terbaik ialah kita memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata peminjam perlu menghubungi bank lebih awal jika mereka merasakan bahawa mereka perlu menjadualkan semula pembayaran balik pinjaman mereka.

“Ini terutamanya bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dan gaji berkurangan. Justeru, hubungi bank anda sekarang dan membuat penyusunan semula,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right