Siakap Keli
Gambar: AEON Retail Malaysia

Dari “Group” Memasak Para Suami, SMAHI Kini Buat Kerja Amal Pula & Anjur Program Korban

Anda pasti tahukan group Facebook paling popular masa kini, iaitu Suami Masak Apa Hari Ini? atau nama ringkasnya SMAHI.

Sebelum ini, SMAHI begitu terkenal dengan budaya memasak, perkongsian resipi, kisah ‘suka-duka’ di dapur, selain nilai persaudaraan ‘brotherhood’ yang tinggi sesama mereka.

Selepas wujudnya apron eksklusif SMAHI yang digilai ramai itu, kini SMAHI ‘mara’ selangkah ke hadapan lagi dalam kerja amal dan kemanusiaan pula.

Bersempena dengan ‘kedatangan’ Hari Raya Aidiladha pada 1 Ogos ini, encik-encik suami di SMAHI akan mengajak anda untuk menyertai program ibadah Qurban secara atas talian yang dinamakan sebagai Berkat Korban AEON.

Program itu yang turut mendapat kerjasama tiga hala bersama AEON Co. (M) Berhad serta Koperasi Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (Koop GTR) itu bertujuan sebagai alternatif pelaksanaan ibadah tersebut ketika musim pandemik COVID-19.

Gambar: AEON Retail Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan berikutan terdapat kekangan tertentu melibatkan institusi masjid dan surau di seluruh negara untuk menjalankan ibadah tersebut.

“Kami amat bersyukur dapat menyediakan platform Berkat Korban bagi memudahkan umat Islam menyempurnakan ibadah tersebut secara lebih sistematik melalui tempahan online.

“Melalui cara ini, orang ramai masih dapat beribadah sambil memastikan keselamatan serta kesihatan mereka terjaga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya dalam majlis pelancaran Berkat Korban AEON, baru-baru ini.

Gambar: AEON Retail Malaysia

Sementara itu, pengasas SMAHI, Mohd Salleh Ab Hamid berkata, usaha tersebut dibuat bagi menyemarakkan lagi hubungan persaudaraan yang kuat dalam kalangan warga SMAHI sebelum ini.

“Berlandaskan semangat inilah kami membuat keputusan untuk membuat satu pembaharuan dan bekerjasama dengan AEON bagi menganjurkan Berkat Korban ini yang pastinya dapat memberi manfaat kepada ramai umat Islam di Malaysia,” jelasnya.

Usaha bantu penternak yang terjejas teruk akibat pandemik

Dalam pada itu, pengerusi Koop GTR, Nordin Mat menjelaskan, program tersebut dapat membantu para penternak haiwan ruminan, khususnya lembu dan kambing bagi memasarkan hasil ladang mereka yang terjejas teruk ekoran kesan daripada Perintah Kawalan Kawalan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

“Tambahan pula, permintaan terhadap hasil berkenaan yang diterima daripada masjid-masjid dan surau-surau pada tahun ini untuk ibadah qurban adalah sangat berkurangan.

“Oleh itu, inisiatif Berkat Korban sedikit sebanyak membuka peluang kepada kelangsungan perusahaan para penternak berkenaan,” katanya lagi.

Gambar: AEON Retail Malaysia

Pakej pilihan

Terdapat beberapa pakej korban yang disediakan untuk tempahan, iaitu pakej BK1 bernilai RM799, BK2 bernilai RM899, BK3 bernilai RM999, BK Kambing pada harga RM1,199 serta BK Premium Sado bernilai RM2,799.

Selain itu, bagi setiap pembelian minuman bersusu di Coco Cafe dan kaunter minuman AEON di seluruh negara, RM1 daripadanya akan disalurkan untuk pembelian lembu pakej BK Premium Sado dan daging tersebut akan disumbang kepada golongan asnaf semasa Aidiladha.

Difahamkan, semua daging korban yang dipek menggunakan pek vakum akan dibungkus melalui proses yang mematuhi SOP selepas aktiviti penyembelihan pada 31 Julai nanti, selain turut berlandaskan konsep patuh syariah.

Orang ramai boleh membuat tempahan pakej korban seperti yang dinyatakan melalui pautan laman rasmi SMAHI di www.smahi.my, serta turut boleh mendaftar di kaunter khas di semua cawangan AEON bermula 26 Jun hingga 25 Julai 2020.

 

 

 

Gambar: SMAHI
Gambar: SMAHI
Gambar: SMAHI
Gambar: SMAHI
Gambar: SMAHI

 

Sumber: Suami Masak Apa Hari Ini?

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.