Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pilihan Raya Singapura: MediaCorp Siarkan Dua Debat Politik Secara Langsung

Mediacorp akan menyiarkan secara langsung dua debat politik Pilihan Raya Umum 2020 dalam bahasa Inggeris dan Mandarin masing-masing menerusi Channel 5 dan Channel 8 malam ini.

Mediacorp menjemput empat parti politik yang meletakkan calon paling ramai bertanding pada pilihan raya umum itu – Parti Tindakan Rakyat (PAP), Parti Kemajuan Singapura (PSP), Parti Pekerja (WP) dan Parti Demokratik Singapura (SDP) – untuk menghantar seorang calon bagi setiap perdebatan.

Bertajuk ‘Singapore Votes 2020 – The Political Debate’, program secara langsung selama satu jam itu akan merangkumi dua segmen, menurut Mediacorp, rangkaian media nasional, dalam kenyataan hari ini.

Pada segmen pertama, seorang moderator akan menanyakan beberapa soalan kepada empat calon mengenai topik termasuk pengangguran, membantu perniagaan dan mobiliti sosial.

Dalam segmen kedua pula, calon akan mengemukakan soalan kepada calon lain dalam turutan berstruktur dan menjawab soalan yang diajukan oleh calon lain.

Debat bahasa Inggeris akan disiarkan dalam Channel 5 pada pukul 8.00 malam, dengan siaran serentak di radio CNA938 dan penstriman langsung dalam meWatch, cna.asia, YouTube CNA dan Facebook CNA manakala siaran tertunda dalam CNA pada 9.00 malam.

Debat bahasa Mandarin pula disiarkan secara langsung dalam Channel 8 pada 9.00 malam dan turut disiarkan di CAPITAL 958 dan penstriman langsung di meWatch and 8world.com.

Debat itu adalah sebahagian daripada liputan komprehensif Mediacorp pada Pilihan Raya Umum 2020 dalam empat bahasa di semua platformnya, menurut kenyataan itu.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right