Siakap Keli
dadah
Kredit: Bernama

Ibu Bapa Didakwa Pergunakan Anak Untuk Edar Dadah, Kaburi Mata Pihak Berkuasa

SERDANG,1 Julai (Bernama) — Polis membongkar kegiatan pengedaran dadah jenis ganja dengan membawa bersama kanak-kanak bagi mengaburi mata pihak berkuasa membabitkan sepasang suami isteri dalam dua serbuan berasingan di sekitar Puchong, di sini Sabtu lepas.

Kegiatan kumpulan itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini bagaimanapun terbongkar susulan penahanan lima individu berumur antara 29 hingga 49 tahun termasuk dua wanita dan melibatkan rampasan bernilai lebih RM263,000 dalam serbuan di Bandar Puchong Jaya dan 16 Sierra, antara 12.00 tengah malam hingga 5.00 pagi itu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata sepasang suami isteri yang ditahan dipercayai ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia setahun dan tiga tahun.

Beliau berkata serbuan pertama dilakukan semasa kesemua suspek iaitu dua lelaki tempatan, seorang perempuan tempatan dan seorang perempuan warga Indonesia di dalam tiga buah kereta sedang melakukan transaksi sesama mereka.

“Sebuah kereta didapati (digunakan untuk) membawa 50 ketulan ganja mampat seberat 49,425 kilogram di dalamnya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini, hari ini.

Arjunaidi berkata susulan tangkapan itu kemudiannya membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah rumah di 16 Sierra.

“Hasil siasatan lanjut polis menemui 98 ketulan mampat ganja seberat 97,120 kilogram dianggar bernilai RM174,864 di dalam rumah berkenaan dipercayai tempat penyimpanan ganja sindiket berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Arjunaidi tidak menolak kemungkinan kesemua dadah berkenaan dipercayai diseludup daripada negara jiran melalui kawasan Pantai Timur.

“Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat, sindiket didapati telah membawa masuk dadah berkenaan melalui laluan di sekitar Pantai Timur dan dadah ini dipercayai akan diedarkan di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Dua kanak-kanak berkenaan bagaimanapun dibebaskan.

“Kelima-lima suspek disambung reman lima hari bermula hari ini dan disiasat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Polis turut menyita dua kereta jenis Proton dan Peugeot bernilai RM40,000 terbabit dalam rampasan berkenaan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.