Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Operator Pengeluaran Dipenjara Enam Bulan Kerana Sembunyi Kelahiran

Melaka: Tindakan seorang wanita menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi dalam kandungannya berusia tujuh bulan ke dalam lubang kumbahan membawa padah apabila dia dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas Norfatihen Salleh, 22, operator pengeluaran di sebuah kilang, mengaku melakukan perbuatan tersebut dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara mulai hari ini.

Muhammad Nazrin dalam penghakimannya berkata hukuman terhadap tertuduh perlu dijadikan pengajaran bukan sahaja kepada dirinya malah masyarakat agar lebih berhati-hati dalam mencari jalan penyelesaian berkaitan sesuatu perkara.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama seorang individu lain di sebuah rumah di Batu 4 ¼ Kampung Kandang di sini pada 12.30 pagi 7 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Norfatihen telah melahirkan seorang bayi selepas makan pil menggugurkan kandungan di rumah sewanya di Taman Perkota di sini sebelum menyerahkan mayat itu kepada teman lelakinya yang kemudian bertindak membuangnya ke dalam lubang kumbahan di sebuah rumah di Kampung Kandang.

Pada 26 Jun lepas, teman lelaki Norfatihen, Muhammad Faiz Zakariyah, 25, yang juga seorang operator pengeluaran, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sama.

Sementara itu, di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, seorang wanita warga Indonesia, Ira Nuraeni, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi berusia enam bulan di kawasan semak pada 5 petang 25 Jun lepas.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 3 Ogos untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari dan Raudhah Mazman manakala Norfatihen dan Ira tidak diwakili peguam.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.