Siakap Keli
hope sowon kes cho doo soon
Kredit: Google

(Video) Diangkat Jadi Filem “Hope”, Kisah Sadis Tragedi Rogol Budak 8 Tahun Gemparkan Korea Selatan Suatu Ketika Dahulu

Disember 2008 merupakan tahun penuh tragedi bagi Nayoung yang kini berusia 20 tahun (2020).

Berusia 8 tahun ketika itu, dia diculik oleh Cho Doo Soon, seorang lelaki mabuk ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Doo Soon telah menyeret mangsa ke sebuah tandas awam sebelum melakukan tindakan keji ke atas kanak-kanak itu.

Dia didakwa telah memperkosa mangsa melalui kemaluan, dubur dan telinga mangsa. Dia turut memukul, mencekik dan menekan kepala kanak-kanak itu ke dalam air bagi membuatkan mangsa pengsan.

Tak cukup dengan penyeksaan tersebut, lelaki berhati syaitan itu memasukkan paip ke dalam alat sulit Nayoung kononnya untuk membersihkan kesan air maninya.

Tindakan itu membuatkan usus si kecil malang itu terkeluar dari badan dan kemudiannya cuba disumbat kembali ke dalam oleh pelaku.

Lebih keji, Doo Soon masih cuba meletakkan Nayoung dalam posisi duduk, dipercayai supaya organ dalamannya tidak terkeluar agar dia boleh meneruskan perbuatan terkutuk itu.

Penderitaan Nayoung tidak berakhir di situ. Dia terpaksa menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan akibat penderaan seksual itu.

Salah satu babak filem Hope (So-Won). Kredit: Google

Selain itu, penyiasatan kes juga dikatakan dikendali oleh pegawai yang tidak kompeten.

Mereka didakwa menyoal siasat Nayoung selama berjam-jam, memaksanya membayangkan kembali episod trauma tersebut.

Mereka juga telah menyoal siasat Nayoung di hadapan pesakit lain serta memaksanya duduk di atas kerusi. Hal ini telah menimbulkan ketidakselesaan kepadanya berikutan kecederaan dialami sebelum itu.

Malah, mereka dikatakan memanjangkan tempoh soal siasat hanya kerana tidak tahu mengendalikan peralatan.

Lantaran itu, keluarga mangsa telah menyaman pasukan penyiasat dan memenangi kes berkenaan.

Pun begitu, perogol mabuk, Doo Soon yang sepatutnya menerima hukuman 15 tahun di dalam penjara hanya dikenakan hukuman selama 12 tahun.

Semuanya kerana akta jenayah negara itu yang membenarkan hukuman diringankan jika tertuduh melakukan jenayah dalam keadaan lemah fizikal dan mental seperti di bawah pengaruh alkohol.

Artikel 10 Seksyen 2 Akta Jenayah Korea Selatan ini menjadi perdebatan dalam kalangan warga Korea yang menyifatkannya sebagai terlalu ringan dan tidak adil buat keluarga mangsa.

Hope (So-Won)

 

Salah satu babak dalam filem So-Won. (Kredit: Google)

12 tahun telah berlalu. Tahun ini merupakan tahun kebebasan Doo Soon yang dijangka bakal menjejakkan kaki ke dunia luar pada 13 Disember ini. Dia akhirnya boleh menjalani hidup normal seperti orang lain setelah merosakkan masa depan seorang kanak-kanak yang terpaksa berhadapan trauma sehingga ke hujung nyawa.

Kisah traumatik Nayoung digarap menjadi sebuah filem Korea yang diterbitkan pada 2013 bertajuk Hope (So-Won).

Dalam filem ini, pengarah menggambarkan trauma dihadapi So-Won sehingga dia menjadi takut kepada lelaki termasuk ayahnya.

Bagi mengatasi rasa takut permata hatinya, si ayah memakai maskot watak kesukaan So-Won setiap kali ingin mendekati anaknya itu.

Kisah meruntun jiwa ini mendapat rating 8.3/10 di IMDB dan turut menerima anugerah Filem Terbaik dalam anugerah Blue Dragon Film Awards ke-34.

Susulan pembebasan Doo Soon pada tahun ini, kerajaan Korea telah mendedahkan wajah sebenar pelaku dan menyenaraikan maklumatnya dalam senarai pelaku jenayah seksual bagi tempoh lima tahun. Maklumat yang boleh diakses secara atas talian ini membolehkan orang ramai berjaga-jaga jika bertemu dengannya.

Doo Soon yang dilaporkan mempunyai 18 kes jenayah lampau juga dikatakan akan dipakaikan gelang kaki elektronik sebagai langkah pengawasan kerajaan.

Alkohol merosakkan

Dalam petisyen dikemukakan isteri Doo Soon ketika perbicaraan suaminya, dia menyifatkan tertuduh sebagai seorang yang sopan dan suami yang baik hati.

Katanya, Doo Soon tidak pernah marah dan sering membantunya melakukan kerja rumah. Dia dikatakan hanya membuat masalah ketika di bawah pengaruh alkohol.

“Memasak nasi dan lauk, membersihkan rumah dan semua kerja rumah. Suami saya dah melakukannya selama 20 tahun,” kata wanita itu.

“Dia tak pernah marah dan sering berkelakuan sopan,” katanya seperti dilaporkan Asia One.

Sumber: Koreaboo, Asia One, Asia Times

Amira

Love yourself.