Siakap Keli
FOTO: BERNAMA

APMM Sabah Tahan Dua Bot Nelayan Asing

KOTA KINABALU, 3 Julai  – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjaya menahan dua bot nelayan asing bersama 22 kru dan tekong dipercayai warga Vietnam yang menceroboh perairan dan mencuri hasil laut negeri ini, Rabu lepas.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata kedua-dua bot itu dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding ketika pihaknya melaksanakan Operasi Naga Timur, kira-kira 30 batu nautika dari Pulau Mengalum.

Beliau berkata semasa bot Maritim cuba mendekati bot nelayan asing itu, mereka telah memotong tali pukat, sebelum cuba melarikan diri, malah enggan memberikan kerjasama semasa diarahkan berhenti, namun pegawai maritim mengambil masa 30 minit untuk memastikan mereka mematuhi arahan itu dan akhirnya mereka akur setelah diekori dan dipaksa berhenti.

“Setelah menghampiri bot nelayan asing yang pertama pada pukul 5.47 petang, di posisi 29 batu nautika Pulau Mengalum, pemeriksaan mendapati sijil pendaftaran bot itu telah tamat, dan empat orang kru bot serta tekong berumur antara 18-42 tahun warga Vietnam itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata bot yang kedua pula berjaya ditahan di posisi 32 batu nautika barat Pulau Mengalum, pukul 6.15 petang, dan pemeriksaan mendapati sijil pendaftaran bot itu juga telah tamat tempoh dan tidak mempunyai sebarang lesen atau pun kebenaran daripada Jabatan Perikanan bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia.

Menurutnya bot itu didapati membawa 16 orang kru bot dan seorang tekong warganegara Vietnam, berumur antara 28-49 tahun.

Mohd Rosli berkata kedua-dua bot nelayan asing itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63, kedua-dua bot kemudiannya ditunda ke jeti Maritim Sepanggar.

Katanya semua pihak yang terlibat termasuk pegawai, anggota Maritim, kru kedua-dua bot yang ditahan telah menjalani ujian saringan COVID-19 semalam sebaik mereka tiba di jeti.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang