Siakap Keli

Bot ‘Teksi Air’ Ditahan bersama Enam Pendatang Asing

JOHOR BAHRU, 8 Julai  — Enam lelaki warga Indonesia termasuk seorang tekong dan kru bot ‘teksi air’ ditahan dalam Op Benteng Laut di perairan Kota Tinggi, semalam.

Kesemua mereka yang berusia antara 24 hingga 43 tahun dan tidak mempunyai dokumen  yang sah itu mendakwa dalam perjalanan dari sebuah kapal tangki, dipercayai untuk ke Indonesia.

“Namun, apabila disiasat, kapal berkenaan tiada di tempat yang dinyatakan mereka,” kata Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili Kept Maritim Mohd Zulfadli Nayan dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bot kayu itu ditahan kapal ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili pada 1.50 tengah hari di kedudukan 7.5 batu nautika timur Tanjung Lompat.

Kesemua yang ditahan itu telah menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Bandar Mas, Kota Tinggi dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(3) Akta Kastam 1967 kerana membawa penumpang tanpa manifes  (daftar muatan) yang sesuai baginya serta Seksyen 6(1)(a) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa permit dan dokumen sah.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha