Siakap Keli

Empat Hari Lagi, Gangguan Air Berjadual Di 290 Kawasan Di Lembah Klang 14 Hingga 17 Julai Ini

Gangguan bekalan air berjadual melibatkan 290 kawasan di Lembah Klang akan bermula empat hari lagi, iaitu 14 hingga 17 Julai ini.

Kesemua kawasan yang terkesan adalah dalam sekitar wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Gombak, Klang, Shah Alam dan Kuala Langat, melibatkan kira-kira 420,000 pengguna.

Sehubungan itu, Air Selangor menerusi satu kenyataan memaklumkan, bekalan air akan disalurkan kepada para pengguna mulai 15 Julai ini, pada pukul 9.00 pagi.

Difahamkan, pemulihan bekalan air adalah berbeza mengikut kawasan yang terjejas dan bergantung kepada lokasi premis pengguna.

Mengimbas kembali, notis pemberitahuan gangguan bekalan air berjadual tersebut sudah diumumkan pada 6 Julai lalu.

Ketua Operasi Pengurusan, Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abas Abdullah berkata, gangguan itu berikutan kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3.

“Kerja itu merangkumi penggantian beberapa rangkaian injap utama untuk meningkatkan kecekapan sistem dan membolehkan LRA beroperasi dengan lebih baik.

“Pemulihan bekalan air ke kawasan terlibat akan bermula pada 15 Julai (9 pagi) dan kita juga membuat anggaran bahawa 48 peratus daripada semua kawasan yang terjejas akan mendapat bekalan air sebelum 16 Julai (9 pagi),” katanya, memetik laporan BERNAMA.

Justeru, 80 peratus kawasan yang terlibat akan pulih pada 17 Julai, pukul 9 pagi dan pemulihan bekalan air sepenuhnya dijangka pada hari yang sama, pukul 5 petang.

Bagi maklumat lanjut, pengguna boleh merujuk di laman sesawang https://www.airselangor.com/

Sumber: Air Selangor, BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.