Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan kejadian kebakaran di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kangkar Tebrau, Johor pada petang Jumaat.
Menurut kenyataan TNB, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.03 petang itu telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Johor Jaya.
Susulan kejadian itu, pasukan teknikal TNB telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik kepada pengguna yang terjejas.
“Pasukan teknikal TNB telah digerakkan ke lokasi dan sedang giat menjalankan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik kepada pengguna yang terjejas,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, TNB turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna susulan gangguan bekalan elektrik tersebut.
“TNB memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama pengguna sepanjang proses pemulihan bekalan elektrik dilaksanakan,” katanya.
