Tenaga Nasional berhad (TNB) menzahirkan rasa simpati terhadap tiga remaja lelaki yang cedera akibat terkena renjatan elektrik ketika menyertai perarakan keagamaan di Alor Setar, Kedah, semalam.
Dalam satu kenyataan, TNB berkata pihaknya bersedia untuk beri kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan lanjut insiden tersebut.
“TNB akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Ujarnya, berdasarkan siasatan awal, kejadian itu dipercayai berlaku apabila tiang bendera yang dibawa semasa perarakan menghampiri talian penghantaran elektrik voltan tinggi sehingga mencetuskan percikan arka elektrik.
TNB Sedia Beri Kerjasama Bantu Siasatan Insiden Renjatan Elektrik

Pada masa yang sama, TNB turut mendoakan agar kesemua mangsa yang sedang menerima rawatan akan diberikan kesembuhan segera.
Orang ramai turut dinasihatkan untuk sentiasa mengutamakan keselamatan dan memastikan sebarang objek tinggi, termasuk tiang bendera, berada pada jarak selamat daripada talian elektrik.
Semalam, media melaporkan tiga remaja lelaki dilaporkan terkena renjatan elektrik selepas bendera yang dibawa mereka semasa perarakan tokong sayur di Mergong, Alor Setar, malam tadi dipercayai terkena talian pencawang elektrik bervoltan tinggi.
Setiausaha Persatuan Tokong Sayur Mergong Chah Boon Chuan berkata kejadian kira-kira pukul 9 malam itu mengakibatkan dua mangsa berusia 17 tahun dan seorang lagi yang berusia 16 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

