Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

4,289 Kes Buli Direkodkan Di Sekolah, Asrama Dari Mac Hingga Ogos Lalu - Fadhlina

4,289 Kes Buli Direkodkan
Kredit: Bernama

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaporkan sebanyak 4,289 kes salah laku buli telah direkodkan sepanjang tempoh Mac hingga Ogos 2026.

Menurut Menteri KPM, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,480 kes melibatkan buli fizikal, 1,386 kes buli lisan, 243 kes buli bukan lisan dan 180 kes buli siber.

“KPM memandang serius setiap kejadian buli yang melibatkan murid, sama ada di sekolah mahupun di asrama.

“Sehubungan itu, KPM terus memperkukuh pendekatan menangani buli secara menyeluruh, meliputi aspek penguatkuasaan, pengawasan persekitaran sekolah dan asrama, perlindungan mangsa, intervensi psikososial serta pembentukan karakter murid,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam, bagi menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berhubung bilangan kes buli di sekolah dan asrama sejak Akta Antibuli 2026 berkuatkuasa serta penambahbaikan pemantauan asrama susulan pendedahan dalam inkues kematian Arwah Zara Qairina.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, angka tersebut menunjukkan bahawa usaha menangani buli perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhad kepada tindakan disiplin semata-mata.

“Setiap aduan perlu diberikan perhatian sewajarnya, disiasat mengikut tatacara yang ditetapkan dan diikuti dengan tindakan serta intervensi yang bersesuaian,” ujarnya.

4,289 Kes Buli Direkodkan Dari Mac Hingga Ogos Lalu

Tambahnya, KPM telah melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan bagi memperkukuh keselamatan dan pemantauan di asrama.

Beliau memaklumkan bahawa dari aspek pemantauan fizikal, KPM telah memasang televisyen litar tertutup (CCTV) di 200 buah sekolah berasrama pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyakn RM3 juta.

“Pada tahun 2026, inisiatif ini diteruskan melalui pemasangan CCTV di 333 buah sekolah berasrama dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

“Bagi Fasa 3 pada tahun 2027, sebanyak Rm15 juta diperuntukkan untuk memperluas pemasangan CCTV kepada 1,000 buah sekolah di seluruh negara,” katanya.

Selain itu, bagi aspek pengawasan dan kebajikan murid, KPM telah menempatkan seramai 300 Personal MySTEP Pembantu Warden Asrama (MyPWA) di sekolah berasrama bermula pada 1 April 2026.

“Mereka membantu lebih 10,000 warden sedia ada dalam aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, khususnya bagi memperkukuh pengawasan pada waktu malam,” katanya.

KPM juga telah melaksanakan Audit Keselamatan Asrama yang melibatkan 850 buah sekolah, dan usaha ini diteruskan lagi pada tahun 2026 melalui Tinjauan Keselamatan dan Kesejahteraan Murid (TKKM) serta Bimbingan In-Situ: Keselamatan dan Kesejahteraan Murid (BKKM).

“Langkah ini bertujuan mengenal pasti keperluan penambahbaikan di peringkat sekolah dan memastikan tindakan susulan yang bersesuaian dapat dilaksanakan,” jelasnya.

Katanya lagi, pemantauan keselamatan tidak boleh bergantung pada kemudahan fizikal semata-mata namun pengawasan oleh warga sekolah, kepekaan terhadap perubahan tingkah laku murid dan tindakan segera terhadap aduan juga merupakan komponen penting dalam memastikan persekitaran asrama yang selamat.

Bagi aspek pengurusan aduan dan perlindungan murid, KPM telah menambah baik Portal Aduan Buli KPM dengan menyediakan fungsi aduan secara anonim.

Jelasnya, kemudahan ini bertujuan untuk memberikan ruang kepada murid, saksi dan pihak berkaitan untuk tampil membuat aduan dengan lebih yakin, tanpa mengetepikan keperluan siasatan yang sewajarnya.

Intipati
  • KPM merekodkan 4,289 kes salah laku buli dari Mac hingga Ogos 2026.
  • Kes buli fizikal mencatat jumlah tertinggi, diikuti buli lisan, bukan lisan dan siber.
  • KPM menambah CCTV, pembantu warden dan fungsi aduan anonim bagi memperkukuh keselamatan asrama.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan