Siakap Keli

Dalam Tempoh 24 Jam, Singapura Catat 322 Lagi Kes Baharu

Singapura: Singapura, yang berada di Fasa Kedua pembukaan semula aktiviti sosial dan ekonominya sejak 19 Jun, mengesahkan 322 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas.

Dengan perkembangan terbaharu ini, jumlah kumulatif jangkitan di republik itu mencecah 46,283 kes.

Menurut data ringkas setakat 12 tengah hari yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini, majoriti kes terdiri daripada pemegang pas kerja yang tinggal di asrama.

Berdasarkan siasatan kementerian setakat ini, terdapat 11 kes dalam komuniti terdiri daripada dua warga tempatan dan sembilan pemegang pas kerja.

MOH juga berkata terdapat lima kes import yang diletakkan di bawah Notis Duduk Dirumah (SHN) sebaik sahaja tiba di Singapura.

”Angka kes yang lebih tinggi hari ini adalah kerana kurang ujian dilaksanakan oleh makmal ujian COVID-19 semasa cuti umum dan hujung minggu pada 10 dan 11 Julai, dengan tunggakan sampel sedang diproses sejak 12 Julai,” kata MOH.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 611 daripada kes sebagai kes import, 2,052 kes komuniti dan 43,298 kes penghuni asrama.

Setakat 12 tengah hari semalam, 42,285 atau kira-kira 92 peratus daripada pesakit sudah pulih sepenuhnya dan didiscaj daripada hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Terdapat 182 kes disahkan masih lagi berada di hospital semalam, dengan seorang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Menurut kenyatan itu lagi 3,468 pesakit bergejala atau yang disahkan sihat secara klinikal tetapi didapati positif dalam saringan COVID-19 sudah diasingkan dan dijaga di kemudahan penjagaan komuniti.

Setakat ini, 26 orang mati akibat komplikasi COVID-19 di republik itu , dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam.

Oleh: Massita Ahmad via BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.