Siakap Keli
Gambar: Mirror

Kucing Pulang Ke Rumah Bersama Nota, ‘Ugutan’ Pada Nota Buat Pemiliknya Bingung Dan Takut

Seekor kucing dilaporkan menerima nota ugutan yang diselitkan di lehernya selepas kucing tersebut dipercayai ‘menyebarkan kutu’ serta mencuri makanan di rumah orang yang menyelitkan nota tersebut.

Nota ugutan yang mengancam untuk menculiknya itu mula disedari tuannya selepas kucingnya pulang ke rumah.

Gandalf, seekor kucing kacukan Bengal putih dan Russian blue, berusia 4 tahun, telah keluar dan berkeliaran di Bridgend, Wales, dalam masa sejam sahaja sebelum nota ugutan itu ditemui ditampal pada bulu dan kolarnya dengan pita pelekat.

Takut untuk biarkan ia keluar rumah

Tuannya, Chris, kini takut untuk membiarkannya keluar dari rumah dan bingung dengan ugutan yang ditulis di nota itu. Ugutan tersebut menyatakan bahawa kucing berkenaan telah menganggu individu yang mengirimkan nota itu dan dia mengancam akan ‘membawa kucing terbabit jauh ke suatu tempat’, lapor Wales Online.

Ugutan tersebut telah ditulis pada tiga kertas memo kecil dengan huruf besar, penuh dengan kesalahan ejaan dan secara ironinya ia diletakkan pada kolar yang melarang untuk memberi kucing itu makan.

Ugut bawa kucing itu pergi lebih jauh

“Tolong pastikan kucing anda kekal berada di rumah. Kucing anda hampir setiap hari datang ke rumah saya, curi makanan dari meja saya, cakar sofa saya, menyebarkan kutu di rumah saya.

“Saya tidak boleh membiarkan tingkap rumah saya ditinggalkan terbuka. Saya dah tak tahan. Sekiranya saya nampak kucing anda lagi di rumah saya, saya berjanji akan membawanya ke suatu tempat yang jauh dari sini.

“Kucing anda juga menginap di rumah saya dan tidur di dapur. Lebih baik anda beri makan kepada kucing anda,” tulis nota tersebut.

Chris menyatakan bahawa dia dan pasangannya terkejut apabila melihat amaran yang diberikan kepada Gandalf itu kerana baginya Gandalf adalah seekor kucing yang sangat ramah.

“Dia adalah seekor kucing yang tak suka duduk diam, dia suka keluar dan merayau sama seperti kucing-kucing lain. Penduduk setempat kenal dia, dia sangat ramah dan sangat suka mendekati orang.

“Kami memakaikan kolar ‘jangan beri makan’ kepadanya kerana kami melihatnya semakin gemuk seakan ada orang lain yang memberi makan kepadanya.

“Walaupun dia kerap melawat rumah orang, kami tidak pernah menerima aduan tentangnya sebelum ini. Dia banyak menghabiskan masa di rumah kami,” ujar Chris.

Bingung baca kandungan nota tersebut

Chris menyatakan bahawa dia berasa bingung membaca beberapa tuntutan yang terdapat di dalam nota itu kerana Gandalf sangat disayangi oleh pasangan tersebut dan dijaga dengan baik.

“Kami sangat menyayanginya dan kami selalu memastikan bahawa dia sentiasa dalam keadaan baik. Saya sangat pasti bahawa dia tidak mempunyai kutu dan waktu makannya juga turut dijaga. Dia mempunyai karakter yang baik dan saya serta teman wanita saya tidak pernah mempunyai masalah dengannya mencakar perabot kami,” katanya.

“Dia juga telah menjalani rawatan kutu secara bulanan dan kami baru saja memeriksanya setelah nota ini ditemui pada kolarnya.”

Sumber: Mirror

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa