Siakap Keli
penjara pemandu mabuk
Kredit: Google

Denda Sehingga RM 150,000 & Penjara Sehingga 20 Tahun Menanti Pemandu Mabuk Jika Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 Diluluskan

Putrajaya, 15 Julai – Individu yang didapati memandu dalam keadaan mabuk bakal berdepan denda sehingga RM150,000 dan penjara sehingga 20 tahun jika pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 diluluskan di Parlimen.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Jemaah Menteri telah melakukan beberapa pindaan berhubung kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

“Jemaah Menteri pada 24 Jun 2020 telahpun bersetuju secara dasarnya untuk meminda Seksyen 41 hingga 45 secara khusus untuk kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara melulu.

Di bawah Seksyen 44 berkait kesalahan memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan
atau dadah, kerajaan bercadang meningkatkan tempoh penjara maksimum buat pesalah.

“Kita sudah mencadangkan kadar penjara maksimum ditetapkan dari 10 tahun dengan pindaan kepada 15 tahun untuk kesalahan pertama dan 20 tahun untuk kesalahan berikutnya.

“Kadar denda yang dicadangkan untuk dinaikkan dari maksimum RM20,000 kepada RM100,000 untuk kesalahan pertama dan RM150,000 untuk kesalahan berikutnya.

Tegas beliau, Jemaah Menteri turut bersetuju melanjutkan tempoh penggantungan lesen dariapda 10 tahun kepada 20 tahun bagi pemandu mabuk.

Selain itu, pesalah turut berhadapan hukuman penjara jika sabit kesalahan.

“Seksyen 45(a) juga, memandu atau menjaga kenderaan motor dengan kepekatan alkohol melebihi had, hukuman penjara akan dicadangkan untuk dijadikan hukuman mandatori kepada mereka yang disabitkan kesalahan.

“Amaran kita, kalau sudah mabuk, jangan memandu,” tegas beliau.

Katanya, kerajaan juga mempertimbangkan untuk menurunkan kadar alkohol dibenarkan di dalam badan mengikut syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pindaan itu meliputi pengurangan dari 35 mikrogram (μg) alkohol kepada 22 μg alkohol dalam 100 ml nafas; 80 miligram (mg) alkohol kepada 50 mg alkohol dalam 100 ml darah; atau 107 mg alkohol kepada 67 mg alkohol dalam 100 ml air kencing.

“Sesiapa yang melebihi had ini akan terus dihukum,” katanya.

“Tujuan kita berbuat demikian adalah membendung pemanduan mabuk yang menyusahkan orang lain. Kita jangan biarkan jalan raya kita sebagai jalan maut,” tegasnya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Ucapan mengenai pemanduan mabuk bermula pada minit ke 50:00.

Sumber: RTM

Amira

Love yourself.