Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hampir 150 Pelajar Cemerlang Pahang Terima Komputer Riba, SSPN Prime RM1,000

SSPN
Kredit: Facebook Ahmad Farhan Fauzi

Seramai hampir 150 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) daripada keluarga kurang berkemampuan di Pahang menerima komputer riba serta Sijil SSPN Prime bernilai RM1,000 menerusi Program Sejahtera MADANI (Pendidikan).

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, bantuan berkenaan disampaikan menerusi Majlis Penyerahan Peranti Siswa dan Sijil SSPN Prime kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM tahun 2025 yang berlangsung di The Bayu Weddings & Event di sini, tengah hari tadi.

Menurut Ahmad Farhan, program itu merupakan antara usaha kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan pelajar, khususnya daripada keluarga yang memerlukan, mendapat akses kepada kemudahan digital bagi menyokong proses pembelajaran dan pendidikan.

“Seramai hampir 150 penerima diraikan yang terdiri daripada pelajar-pelajar SPM dan STPM cemerlang daripada keluarga kurang berkemampuan dari seluruh negeri Pahang.

“Mereka menerima sebuah komputer riba dan Sijil SSPN Prime bernilai RM1,000 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook.

Beliau berkata, dalam ucapannya, beliau turut menitipkan pesanan kepada para penerima yang bakal melangkah ke alam pengajian tinggi agar sentiasa menghormati ibu bapa dan pensyarah.

Ujarnya, pelajar juga diingatkan supaya menjaga solat dan hubungan dengan Yang Maha Esa, belajar bersungguh-sungguh serta memilih rakan yang baik dan mampu membimbing mereka ke arah kejayaan.

“Besar harapan saya untuk melihat adik-adik penerima berjaya dalam pelajaran, seterusnya bersama-sama membangunkan negara.

“Mungkin ada antara mereka yang diraikan hari ini akan muncul sebagai pemimpin negara pada masa hadapan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Farhan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program berkenaan.

Beliau berkata, penghargaan khusus diberikan kepada Datuk Razihan Adzharuddin, Pengarah Pembangunan Negeri Pahang; Sapiza Ajuhari, Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Pahang; Tengku Datuk Nor Asmalizah Ku Lah, Timbalan Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, selain pegawai Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pahang dan PTPTN Negeri Pahang.

Katanya, kerjasama semua pihak membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan turut mendapat peluang dan sokongan sewajarnya untuk melakar kecemerlangan dalam pendidikan.

Intipati
  • Hampir 150 pelajar cemerlang Pahang menerima komputer riba dan Sijil SSPN Prime RM1,000.
  • Program Sejahtera MADANI menyasarkan pelajar SPM dan STPM daripada keluarga kurang berkemampuan.
  • Ahmad Farhan menasihatkan penerima menghormati ibu bapa, menjaga solat dan belajar bersungguh-sungguh.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan