Siakap Keli

Penjejakan Kontak Digiatkan Susulan Kematian Warga Emas Di Kuching

KUCHING, 16 Julai — Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sedang giat menjalankan penjejakan kontak secara rawak susulan kematian seorang warga emas akibat COVID-19, minggu lepas.

Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini berkata 217 penyaringan awal telah dibuat setakat ini di kawasan pasar komuniti Stutong dan daripada jumlah itu, dua orang didapati mempunyai gejala, dan 56 sampel telah diambil.

“Esok akan dijalankan saringan di kawasan pasar segar Green Road manakala kawasan berikutnya adalah pasar-pasar utama, yang akan dilakukan dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya pada sidang media harian COVID-19 bangunan lama Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini.

Menurutnya sebelum disahkan positif COVID-19, warga emas berusia 72 tahun itu telah beberapa kali mendapatkan rawatan tradisional, dan dia dibawa ke sebuah hospital swasta pada 9 Julai yang kemudian merujuknya ke Hospital Umum Sarawak setelah disyaki positif COVID-19, sebelum disahkan meninggal dunia pada 10 Julai.

Sementara itu dalam kes berasingan, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata Kementerian Kesihatan telah mengisytiharkan kawasan Mambong sebagai ‘Kluster Mambong’ selepas dua kes positif COVID-19 direkodkan di kawsan itu.

“Sebanyak 131 kontak rapat yang telah dikesan yang melibatkan 86 rakan sekerja, 22 orang ahli keluarga dan 23 lagi kontak kasual dengan sebanyak 68 sampel telah diambil, manakala baki 63 (sampel lagi) akan diambil dalam masa terdekat ini.

“Bagi kluster Syarikat Kejuruteraan Kuching, sebanyak dua kes positif dilaporkan sebelum ini di mana sejumlah 187 kontak rapat telah dikesan yang melibatkan 130 rakan sekerja, 33 orang ahli keluarga dan 24 adalah lain-lain. Kesemua 187 sampel tersebut adalah negatif,” katanya.

Sumber: Bernama

Nor Azilah