Siakap Keli
Gambar: Malaysian Football League

TERKINI: Liga Super & Liga Premier Bersambung Semula 26 Ogos Ini Manakala Piala FA Dibatalkan

Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan sebentar tadi memaklumkan Liga Malaysia 2020 akan bersambung semula pada 26 Ogos ini.

Tarikh berkenaan diumumkan setelah mendapat persetujuan daripada Ahli Lembaga Pengarah MFL setelah menilai banyak faktor termasuk tempoh persiapan pasukan-pasukan bertanding dalam memastikan kualiti Liga Malaysia lebih kompetitif dan berkualiti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, beliau percaya pemilihan tarikh berkenaan adalah tempat dan memberi peluang kepada pasukan yang bertanding untuk membuat persedian sebelum saingan liga bersambung semula.

“Untuk memulakan kembali Liga Malaysia 2020 yang tertangguh sejak 16 Mac lalu beberapa perkara perlu dipatuhi oleh semua pasukan di mana setiap stadium atau venue perlawanan hendaklah berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan disahkan oleh MFL serta wajib menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi.

“Komisioner Perlawanan lantikan MFL akan membuat pemeriksaan stadium atau venue perlawanan sebelum liga dimulakan dan Operasi Standard Prosesur (SOP) pengelolaan perlawanan akan diedarkan oleh MFL kepada semua pasukan kelak.

“Bagi memastikan kelancaran Liga Malaysia 2020, pihak MFL juga semalam sudah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pengadil FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) bagi membincangkan persiapan dan SOP pertandingan. Apa yang pasti, kita memang sudah bersedia untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya.

Format sedia ada saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier dikekalkan dengan liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11.

Bagaimanapun, beliau turut memaklumkan perlawanan tertunda CIMB Liga Super iaitu perlawanan menemukan PJ City FC menentang Terengganu FC dan Liga Premier menemukan UKM FC dengan Kelantan akan dimainkan pada 22 Ogos ini.

Manakala saingan TM Piala Malaysia pula dijadualkan berlangsung pada 17-18 Oktober dan berakhir pada 11 November.

”Format pertandingan TM Piala Malaysia akan dirombak di mana tiada saingan peringkat kumpulan dengan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.

”11 pasukan terbaik CIMB Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier (kecuali pasukan Reserve Team) yang layak beraksi dalam saingan TM Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah,” kata kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, saingan Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.

Sumber: Malaysia Football League

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.