Siakap Keli

Anugerah Ballon d’Or Dibatalkan Tahun Ini, Kali Pertama Sejak 1956

France Football dilaporkan tidak akan menganjurkan majlis Anugerah Ballon d’Or 2020 atas alasan ‘syarat-syarat yang diperlukan tidak dapat dipenuhi’ berikutan kalendar bola sepak musim ini yang terhenti akibat pandemik COVID-19.

Penganjuran anugerah berkenaan yang bermula sejak 1956, menyaksikan bintang Barcelona, Lionel Messi menjadi pemenang terakhir, manakala pemain bola sepak wanita berasal dari Amerika Syarikat, Megan Rapinoe membawa pulang Ballon d’Or Feminin, tahun lepas.

”Tiada Ballon d’Or edisi 2020 kali ini, selepas hasil perbincangan mendalam dibuat mendapati syarat-syarat penganugerahan tidak dapat dipenuhi.

”Kami berpendapat, perjalanan kalendar bola sepak tahun ini yang terganggu tidak boleh dianggap sebagai sama seperti tahun-tahun sebelumnya,” kata Ketua Editor France Football, Pascal Ferre.

Bagaimanapun, pihak penganjur akan mengeluarkan senarai skuad ‘Dream Team’ pada penghujung tahun ini, dimana 11 pemain terbaik akan dipilih barisan juri Ballon d’Or.

Ballon d’Or dianggap sebagai anugerah paling berprestij dalam sukan bola sepak dan pada 2018, penganjur menambah satu lagi trofi iaitu Ballon d’Or Feminin sebagai penghargaan kepada bakat pemain bola sepak wanita.

Selain itu, dua lagi anugerah yang diberikan adalah Anugerah Pemain Muda Terbaik dan Anugerah Penjaga Gol Terbaik.

Sumber: ESPN

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.