Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Dua Anggota Polis Mengaku Tidak Bersalah Atas Dakwaan Rasuah

Kota Kinabalu: Dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menerima dan meminta rasuah sebagai dorongan untuk melepaskan seorang lelaki yang ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu pada Ogos 2017.

Tertuduh Koperal Baharrudin Tuge, 42, menghadapi tiga pertuduhan manakala Lans Koperal Mohd Izzam Gorudin Abdullah, 33, satu pertuduhan.

Dalam pertuduhan pertama,  Baharrudin didakwa meminta suapan wang tunai sebanyak RM500 daripada  Shafiqqurazi Alitus di Jalan Inobong Putatan, dekat sini pada pukul 4.30 petang, 7 Ogos, 2017 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya yang ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu.

Baharuddin juga didakwa memperoleh satu suapan wang tunai sebanyak RM300 daripada Shafiqqurazi atas alasan yang sama di Maybank Cawangan Donggongon, Penampang pada pukul 10.41 pagi, 8 Ogos 2017.

Bagi pertuduhan ketiga, Baharrudin didakwa meminta wang suapan sebanyak RM1,500 daripada  majikan Shafiqqurazi sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas pekerjanya di hadapan pejabat The Light Residences Condominium, Penampang dekat sini, pada pukul 3.20 petang, 7 Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua Baharuddin didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama manakala pertuduhan ketiga tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16(a) (B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara Mohd Izzam Gorudin dituduh meminta suapan sebanyak RM2,500 daripada Shafiqqurazi Alitus di Jalan Inobong, Putatan pada pukul 2.30 petang, 7 Ogos 2017, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya yang ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16(a) (B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkankan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Michael Joimin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh Peguam Mohd Azhier Arisin dan sebutan semula kes pada 8 Sept depan.

–BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.