Siakap Keli

Perincian Dua Kluster Baru, Kluster Hyde Park & Kluster PUI Melbourne Yang Dikesan Hari Ini

PUTRAJAYA, 22 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat dua lagi kluster jangkitan COVID-19 baharu yang dikenal pasti.

Ketua pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua kluster tersebut adalah Kluster Hyde Park dan Kluster Pesakit Di Bawah Siasatan (PUI) Melbourne.

“Kluster Hyde Park dikesan di sebuah kapal di Pelabuhan Klang, Selangor. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8,769) merupakan seorang kru kapal bukan warganegara (iaitu dari negara Rusia), mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir dan India.

“Kluster ini telah dikenal pasti susulan saringan COIVD-19 yang telah dijalani oleh kru kapal tersebut sebelum pulang ke negara asal,” jelasnya menerusi satu kenyataan mengenai perkembangan COVID-19, hari ini.

Tambah Hisham lagi, sejumlah keseluruhan 24 orang telah disaring setakat hari ini, iaitu terdiri daripada empat (4) kes positif COVID-19 dan 20 lagi adalah negatif.

Jelasnya, semua kes positif dalam kluster tersebut melibatkan bukan warganegara.

“Mereka sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, manakala kesemua kontak rapat yang negatif pula dikuarantin di kapal tersebut.

Justeru, kluster ini tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil (isolated) di sebuah kapal.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kapal tersebut,” tambahnya lagi.

Kluster PUI Melbourne

Sementara itu, bagi kluster kedua iaitu PUI Melbourne, kes tersebut melibatkan seorang pelajar warganegara Malaysia (iaitu kes ke-8,749) yang telah pulang  dari Australia pada 15 Julai 2020.

“Beliau telah menaiki dua pesawat, iaitu dari Melbourne ke Kuala Lumpur dan kemudiannya dari Kuala Lumpur ke Kuching.

“Dari Pintu Masuk Umum Kuching, Sarawak, beliau seterusnya dibawa ke pusat kuarantin di mana saringan COVID-19 didapati positif pada 17 Julai 2020.

“Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak,” katanya lagi.

Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) telah dijalankan dan hasilnya, satu lagi kes positif dikesan dalam kluster tersebut.

“Kes kedua ini telah menaiki pesawat yang sama dengan kes indeks iaitu pesawat yang telah bertolak dari Kuala Lumpur ke Kuching.

“Sehingga 22 Julai 2020 jam 12 tengah hari, terdapat dua (2) kes positif COVID-19 dalam kluster ini,” tambahnya lagi.

Menurut Hisham, seramai 21 orang kontak rapat yang terdiri daripada penumpang dari pesawat dan kenderaan awam yang berkaitan telah disaring dan masih menunggu keputusan.

Bagaimanapun, punca jangkitan masih di dalam siasatan.

Sumber: KP Kesihatan

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'